Termasuk dalam kempen promosi hujung tahun Chery Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini antaranya ialah tawaran untuk model elektrik Chery Omoda E5. Ia kini diberikan rebat sebanyak RM11,000 daripada harga penuhnya RM146,818 (atas jalan, belum termasuk insurans).
Sebagai tambahan kepda tawaran rebat berkenaan, turut diadakan ialah cabutan bertuah hujung tahun yang akan berlangsung hingga 31 Disember 2024. Dengan hadiah terkumpul bernilai lebih daripada RM150,000, peserta berpeluang memenangi sebuah Omoda 5, beberapa alat kelengkapan rumah, sebuah Nintendo Switch dan baucar beli-belah.
Untuk ikut serta dalam cabutan bertuah tersebut, anda perlu membeli mana-mana kenderaan baru Chery daripada pengedar sah atau siri jelajahnya sebelum 31 Disember 2024. Perlu juga dipastikan bahawa tempahan dan pendaftaran kenderaan yang dibeli itu didaftarkan dalam sistem Chery oleh pengedar. Hadiah akan dipilih secara rawak, dan akan diumumkan melalui platform media sosial dalam tempoh tiga bulan selepas peraduan tamat.
Omoda E5 ialah sebuah EV dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 61-kWh yang boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 430 km mengikut kitaran WLTP. Baterinya menyalurkan tenaga kepada motor elektrik di depan yang menjana sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm tork.
Untuk jaminan, sistem pacuan elektrik diberikan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km, sementara jaminan standard untuk kenderaan ialah tujuh tahun atau 100,000 km. Omoda E5 juga datang dengan ciri ADAS 2.5 yang terdiri daripada fungsi seperti AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, amaran perlanggaran belakang, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan Auto Brake dan lampu tinggi automatik serta tujuh beg udara sebagai ciri standard.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.