Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition telah pun didedahkan untuk pasaran Jepun, dan bakal mula dijual pada 19 Mac 2025. Hanya diproduksi dalam tempoh yang terhad iaitu dari Mac hingga November tahun hadapan, model ini turut mendapat penggayaan yang dinaiktaraf dan pastinya lebih menyerlah.
Harga untuk ZC33S Final Edition bermula 2,329,800 yen (sekitar RM68k) untuk versi manual tujuh-kelajuan, sementara varian automtik enam-kelajuan pula lebih mahal iaitu sekitar 2,401,300 yen (RM70k). Kedua-dua transmisi (pacuan disalurkan ke roda hadapan) dipadankan dengan enjin K14C 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 140 PS (138 hp atau 103 kW) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm.
Bagi aspek perubahan gayanya, ZC33S Final Edition menerima gril hadapan hitam berkilat dan bezel lampu kabus, sementara roda 17-inci (dipadankan dengan tayar profil 195/45) turut menerima kemasan yang sama. Lain-lain perubahan gaya pada luaran termasuk kaliper brek merah, pelekat ‘ZC33S’ pada tiang-C serta lencana hitam/merah pada pintu tailgate.
Untuk bahagian dalamnya, Suzuki memberikan kemadan unik untuk papan pemuka, permukaan pintu dan konsol tengah dengan efek “penggredan haba”. Terdapat juga beberapa perkataan ‘Sport’ atau ‘ZC33S powered by Suzuki’ pada bahagian tersebut, dan kemasan perak berkilat pula diberikan pada roda stereng.
Sekiranya anda tertanya-tanya, Swift Sport standard berdasarkan Swift generasi ketiga akan menamatkan pengeluaran pada Februari 2025. Suzuki masih belum mendedahkan versi baharu Swift Sport berdasarkan model generasi keempat yang lebih baharu. Namun ada khabar angin menyatakan ia ada rancangan untuk berbuat demikian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.