Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

Mendekati penghujung tahun 2024 ini, Yamaha membuat kejutan dengan memperkenalkan Aerox Alpha baru di Indonesia, yang melibatkan pelbagai peningkatan pada skuter tersebut. Ia ditawarkan dalam empat varian, dengan harga bermula 29.9 juta Rupiah (RM8,260) bagi varian Standard dan 41.73 juta Rupiah (RM11,529) untuk varian paling tinggi Turbo Ultimate.

Melihat pertamanya kepada penampilan, apabila diteliti anda akan nampak sebenarnya semua panel badan skuter yang juga dipanggil sebagai NVX ini adalah baru, termasuk juga lampu hadapan dan belakangnya. Kemudiannya, beza tinggi antara tempat duduk utama dengan penumpang juga nampak lebih sedikit.

Peningkatan lebih penting berada pada dua varian tertinggi iaitu “Turbo” dan “Turbo Ultimate.” Enjinnya masih lagi unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT), seperti diperkenalkan kepada NMax di negara itu Jun lalu. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.

Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

Walaupun menggunakan nama “Turbo”, skuter ini tidak mempunyai sebarang pengecas turbo sebenar, dan sebaliknya ia merujuk kepada mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Touring Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sport Touring yang lebih bertenaga).

Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

Sistem keselamatan skuter ini juga dipertingkat, dengan melihat kepada dua varian “Turbo” itu, ia datang bukan sahaja dengan ABS dual-channel, tetapi juga sistem kawalan cengkaman. Di bahagian kokpit, Aerox varian tinggi ini dilengkapi dengan panel meter TFT baru yang menyediakan tiga pilihan paparan dan boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk fungsi tambahan.

Kelengkapan lain pada skuter ini masih kekal sama termasuk tetapan rim 14 inci dengan brek cakera di hadapan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang (dengan tabung untuk varian tinggi), soket pengecas USB-A, sistem start/stop, ruang simpanan 24.5 liter bawah tempat duduk, kunci pintar dan tangki bahan api 5.5 liter.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required