Mungkin ada yang merasakan Toyota Camry generasi ke-9 dalam varian Hybrid yang dilancarkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 tempoh hari terlampau mahal, jadi ini mungkin yang anda cari – UMW Toyota kini turut menawarkan Camry XV80 ini dalam varian tanpa sistem hibrid dengan harga lebih rendah.
Toyota Camry 2.5V 2025 ini diumumkan dijual pada harga atas jalan RM221,800, atau RM27,000 lebih murah berbanding Camry Hybrid yang berharga RM248,800. Setiap pembelian dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun, tanpa had perbatuan. UMWT juga menawarkan pilihan warna badan yang sama seperti versi hibrid pada varian 2.5V ini iaitu Emotional Red 2, Platinum White Pearl Mica, Previous Metal, Attitude Black Mica, Cement Grey Metallic dan Dark Blue Mica.
Varian tanpa hibrid ini menerima enjin Dynamic Force A25A-FKS 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 205 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 246 Nm bermula 4,200 hingga 5,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift bagi memacu roda hadapan, membolehkan sedan segmen-D tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.
Jadi model 2.5V ini sedikit perlahan berbanding Camry Hybrid dengan kuasa keseluruhan 230 PS yang boleh membuat pecutan sama dalam masa 7.2 saat, tetapi hanya mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j. Model tanpa hibrid ini adalah 80 kg lebih ringan iaitu 1,565 kg kerana tidak mempunyai motor elektrik dan juga bateri lithium ion.
Camry 2.5V mempunyai kapasiti tangki minyak 60 liter yang lebih besar (hanya 50 liter pada varian Hybrid). Namun ini tidak menjadi masalah untuk Camry Hybrid dengan sistem bantuan elektrifikasi berkenaan didakwa mencapai pengunaan bahan api serendah 4 l/100 km dan boleh bergerak sejauh 1,250 km dengan satu tangki, berbanding 6.6 l/100 km pada Camry 2.5V.
Antara perincian yang dikongsi bersama untuk model 2.5V dan Hybrid adalah termasuk rim aloi 18-inci yang dibalut tayar 235/45R18, lampu hadapan bi-LED dengan lampu isyarat membelok LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang LED, lampu belakang LED, pengelap cermin dengan penderia hujan, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan head-up, sistem infotainmen dengan skrin 12.3-inci sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto guna wayar, sistem bunyai JBL dengan sembilan-pembesar suara dan juga sistem telemetik kenderaan.
Kedua-dua varian juga menerima tempat duduk hadapan larasan elektrik lapan dengan fungsi memori untuk pemandu dan suis bahu pada kerusi penumpang, liang penghawa dingin kabin belakang, upholsteri kulit hitam, roda stereng larasan kuasa, cermin pandang belakang elektrokromik, dashcam hadapan dan belakang serta pad penegecas telefon pintar tanpa wayar.
Namun model 2.5V yang lebih murah ini tidak diberikan kelengkapan seperti bumbung suria panaromik, antena sirip yu yang diintegrasikan pada cermin belakang, sistem penghawa dingin tiga-zon (hanya dua-zon) dan fungsi rebah kebelakang larasan kuasa pada tempat duduk belakang bersama suis khas.
Walau bagaimanapun kedua-dua varian ini masih diberikan sistem keselamatan yang sama iaitu tujuh beg-udara, pemantau pandangan panaromik serta sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense 3.0 yang terdiri dari brek kecemasan automatik, cruise control adapatif, amaran keluar lorong, bantuan pengesan lorong, bantuan tanda jalan, lampu tinggi automatik, bantuan keluar selamat dan pemantau titik buta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.