Perodua kini menjalin kerjasama strategik dengan TM bagi menyemarakkan lagi pembangunan kenderaan elektrik (EV), inovasi digital dan pertumbuhan mapan.
Dimeterai secara rasmi dalam satu majlis tandatangan antara Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dan CEO Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris. Kerjasama tersebut meliputi empat perkara strategik, iaitu Rangkaian Ketersambungan Rencam, Memajukan Teknologi Digital, Memperkaya Pengalaman Pelanggan dan Kemapanan Alam Sekitar.
TM melalui cabang perniagaan dan penyelesaian sektor kerajaannya, TM One mensasarkan untuk mempertingkat prasarana Perodua, menyediakan sambungan tanpa wayar dan tetap termasuk penyelesaian SD-WAN bagi rangkaian pengedar, 5G persendirian bagi aplikasi automotif serta teknologi pengilangan pintar untuk memperbaiki pengeluaran.
Semua ini akan mempertingkat keupayaan operasi Perodua, memperhalusi pengurusan data serta menyokong pengembangan pada masa hadapan. TM One juga akan memanfaatkan aspek cloud, sekuriti siber, analitik data dan kemampuan AI untuk menyediakan usaha bagi pengilangan pintar, GPU sebagai Servis, serta teknologi pemanduan EV dan autonomous.
Selain itu, kedua-dua pihak juga ingin memperluaskan lagi capaian pasaran dan keterampilan jenama melalui produk dan inovasi bersama dan strategi pasaran. Ini termasuklah sistem infotainmen khusus, penyelesaian pemetaan pintar dan pemasaran bersama menggunakan peralatan digital untuk mencapai segmen pelanggan baru.
Kedua-dua syarikat juga memaklumkan yang mereka komited terhadap kemapanan alam sekitar, dan bekerjasama untuk penyelesaian tenaga bersih bagi prasarana pengecasan EV serta pengurangan sisa untuk selari dengan matlamat alam sekitar Malaysia. Selain itu juga, ia akan turut memupuk budaya inovasi untuk memangkin ketersambungan digital dan tanggungjawab alam sekitar untuk masa depan sektor automotif Malaysia melalui latihan tenaga kerja, R&D dan amalan mapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.