Kemalangan yang melibatkan beberapa buah kenderaan berdekatan kawasan R&R Ayer Keroh di Lebuhraya PLUS semalam yang mengakibatkan tujuh nyawa terkorban dan 33 orang cedera kini mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke — beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dalam kadar segera ke atas kejadian berkenaan.
“Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan 7 nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh 3 kenderaan dari arah bertentangan,” jelas beliau dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook.
“Saya telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan tersebut dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat,” tambah beliau.
“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” memetik kenyataan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.