Toyota dikatakan sedang bersiap sedia untuk membina sebuah kilang baru di China untuk mengeluarkan kenderaan elektrik, dengan kemudahannya akan dibina di Shanghai – lapor Nikkei.
Sumber yang hampir dengan perkara itu memberitahu Nikkei bahawa pengeluar daripada Jepun itu mempunyai perancangan untuk mengeluarkan EV daripada jenama mewah mereka, iaitu Lexus di kilang baru tersebut, yang dikatakan akan mula beroperasi pada tahun 2027 – bergantung kepada sebarang perubahan.
Toyota sebelum ini sudah mengeluarkan kenderaan di China melalui kerjasama dengan pengeluar tempatan seperti FAW Group dan Guangzhou Automobile Group, namun menurut laporan, kilang baru ini akan dibina dan dijalankan operasinya secara sendiri.
Selain daripada itu, pengeluar kenderaan terbesar dunia itu juga dilaporkan sedang mengadakan perbincangan untuk pelepasan cukai, pemilikan tanah dan kelulusan untuk memiliki dan mengendali kilang pemasangan kenderaan dalam China tanpa memerlukan rakan kerjasama, seperti yang diberikan kepada Tesla.
Sama seperti pengeluar Jepun yang lain, Toyota juga berhadapan dengan perkongsian pasaran yang menurun tahun ini disebabkan saingan agresif daripada jenama tempatan seperti BYD. Jualan mereka di pasaran China juga turun 11% pada seperuh tahun pertama 2024, tetapi laporan Reuters menyatakan syarikat itu meletakkan sasaran untuk meningkatkan pengeluaran kepada sekurang-kurangnya 2.5 juta kenderaan setahun di China menjelang 2030.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.