Chery Tiggo 5X High Energy Edition baru sahaja dilancarkan di China, dengan menurut laporan Bit Auto, ditawarkan pada harga antara 69,900 yuan (RM42,807) ke 83,900 yuan (RM51,388). Mencatat ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,588 mm dan jarak roda 2,630 mm, SUV ini mempunyai dimensi sama seperti Omoda 5.
Menggerakkan Tiggo 5X High Energy Edition ini adalah enjin petrol 1.5 liter turbo, dengan kuasa 115 kW (156 hp) dan tork 230 Nm, dihantar kepada dua roda hadapan melalui transmisi CVT. Jumlah kuasa ini juga adalah sama dengan Omoda 5 pasaran Malaysia.
Seperti yang boleh anda lihat, penampilan SUV baru ini juga mirip kepada Omoda 5, dengan perubahan yang diberi antaranya seperti logo Chery yang lebih nipis, serta diletakkan tinggi sedikit ke atas. Kemudiannya, gril Tiggo 5X High Energy Edition menggunakan kemasan jalur putus-putus, menggantikan rekaan berpetak pada Omoda 5.
Bukan setakat luar, bahagian dalam juga nampak sama seperti Omoda 5, dengan sedikit perubahan dibuat pada kemasan bahagian atas papan pemuka. Sistem infotainmen menggunakan dua skrin 10.25 inci dengan perisian daripada Lion 5.0 AI.
Susun atur bahagian konsol tengah juga berubah sedikit dengan pemilih mod pemanduan pada Tiggo 5X diletakkan betul-betul di bawah tombol gear. Tempat duduk dilihat menggunakan balutan kulit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.