Bermaz Xpeng kelihatan seperti sedang mempersiapkan pengenalan model Xpeng X9 untuk pasaran tempatan. Model MPV elektrik berkenaan telah dilihat di Jalan Kemajuan, Subang, dengan pelekat yang jelas terpampang tulisan “Bermaz Xpeng Research & Development” baru-baru ini — ia juga model pemanduan sebelah kanan (RHD).
Versi RHD bagi X9 ini sudahpun diperkenalkan di Hong Kong. Di sana, ia ditawarkan dalam dua varian — kedua-duanya dengan pacuan roda depan dan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.
Xpeng X9 pertama kali didedahkan pada Oktober 2023 dan dijual di China pada Januari tahun ini. Berkongsi platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) pengeluarnya dengan model G6 yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos lalu, X9 mempunyai ukuran 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dan jarak roda 3,160 mm.
Pesaing bagi MPV Xpeng ini ialah Zeekr 009 (dilancarkan di sini awal bulan lalu), Denza D9 (dijangka dilancarkan pada suku pertama 2025) serta Toyota Alphard dan Vellfire.
Untuk sistem janaan kuasa, varian pacuan roda depan X9 di China dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 84.5 kWj yang memberikan jarak sehingga 610 km mengikut kitaran CLTC. Ia menyalurkan tenaga kepada sebuah motor elektrik dengan janaan 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan 450 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Ada juga varian sama dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti lebih besar, 101.5 kWj yang memberikan jarak 702 km.
Turut ditawarkan ialah varian pacuan semua roda dengan bateri NMC yang sama dan dua motor elektrik, dengan output keseluruhan sistem 503 PS (496 hp atau 370 kW) dan 640 Nm — membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan jarak 640 km, serta laju maksimum yang sama 200 km/j.
Pengecasan pantas DC juga ada, dengan Xpeng mendakwa “pengecasan super-pantas 3C” dengan C itu merujuk kepada berapa kali bateri tersebut boleh dicas dalam sejam. MPV ini boleh mencapai tahap bateri 10-80% dalam 20 minit, serta ada juga fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti output 3.3 kW.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.