Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), menggesa penggunaan teknologi pemerhati canggih pada kenderaan berat – lapor New Straits Times. Kenyataan ini dibuat selepas awal minggu ini berlakunya kemalangan tiga kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan yang meragut tujuh nyawa.
Institut itu mahukan teknologi seperti sistem pemerhati tekanan angin tayar dan telematik diwajibkan kepada semua kenderaan berat, bagi mengesan sebarang masalah mekanikal pada waktu sebenar, dinyatakan oleh timbalan pengerusinya, Manivanan Gowin.
“Penggunaan teknologi pemantauan canggih mampu memberi amaran awal tentang potensi kerosakan yang boleh membahayakan nyawa. Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan kemajuan teknologi dalam memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya,” kata beliau.
Manivanan juga menggesa kepada penyelenggaran kerap dan ketat serta tindakan tegas kepada kenderaan berat. Dalam bahagian ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dicadang menguatkan usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda berat dan tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.
“Pengendali pengangkutan wajib melaksanakan program latihan keselamatan berterusan lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas. Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam tentang pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan mutlak. Hanya dengan kesedaran dan disiplin tinggi, kemalangan dapat diminimumkan,” kata beliau.
Manivanan juga menggesa agensi kerajaan, pengendali pengangkutan, pihak berkuasa tempatan serta organisasi bukan kerajaan untuk berganding bahu dalam merangka pelan strategik jangka panjang untuk keselamatan jalan raya, yang merangkumi pengenalpastian masalah, penyelidikan berterusan dan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan lebih ketat dan efektif.
“NIOSH memberi jaminan bahawa kami memiliki pasukan pakar berkemahiran tinggi untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan dan mencari penyelesaian lebih efektif dan lestari,” kata beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.