Mazda MX-5 35th Anniversary Edition di Jepun – perincian istimewa, 1,000 unit, bermula RM106k

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition di Jepun – perincian istimewa, 1,000 unit, bermula RM106k

Tahun ini genap 35-tahun Mazda menjual model cabriolet dua-pintu ikoniknya iaitu MX-5 (atau turut dikenali sebagai Miata atau Roadster bergantung pada pasaran). Sejak model generasi pertamanya mula muncul dalam pasaran pada 1989, sehingga kini model yang telah merentas empat generasi tersebut telah terjual sebanyak 1.2 juta unit.

Bagi meraikan ulangtahun tersebut, Mazda telah mengumunmkan model edisi terhad dikenali sebagai MX-5 35th Anniversary Edition yang bakal mula dijual di Jepun bermula Februari 2025. Ia hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit, dan tempahannya sudah mula dibuka sehingga 3 Mac. Berbanding model biasa, versi istimewa ini akan tampil dengan beberapa perincian unik yang eksklusif.

Ia masih ditawarkan dalam dua versi iaitu model bumbung fabrik dengan enjin 1.5 liter dan juga bumbung keras (yang masih boleh dibuka dan disorok secara elektrik) dikenali sebagai RF (Retractable Fastback), dijana enjin 2.0 liter yang lebih berkuasa.

Enjin 1.5 liter empat-silinder NA SkyActiv-G berkenaan menghasilkan kuasa 136 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 152 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bagi memacu roda belakang. Manakala versi 2.0 liter pula dijana oleh enjin SkyActiv-G berkuasa 184 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 205 Nm, ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan.

Namun kesemua versi unit rangkaian kuasa berkenaan akan menerima perincian unik yang sama. Ia termasuk warna badan Artisan Red Premium Metallic, di mana Mazda mendakwa bahawa ini kali pertama MX-5 menerima warna yang dihasilkan dari teknologi cat Takuminuri, dan ia hanya ditawarkan pada model 35-th Anniversary Edition ini sahaja.

Selain itu model istimewa ini juga datang standard dengan kemasan gred S Leather Package V Selection yang menampilkan bumbung fabrik berwarna beige, rim aloi 17-inci kemasan hitam berkilat, dan juga lencana ‘35th Anniversary’ pada sisi badan yang turut memaparkan nombor siri unik yang berlainan pada setiap unit.

Manakala dalam kabin, model edisi khas ini menerima upholsteri berwarna tan dengan logo ‘35th Anniversary’ dicop pada perehat kepala. Logo yang sama turut boleh ditemui pada karpet kaki yang turut diberikan kemasan warna yang sama. Pembeli juga ditawarkan dengan opsyen kunci dengan perumah yang datang dengan warna Artisan Red Premium Metallic yang sama dengan warna badan.

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition 2025 ini akan dijual pada harga bermula 3,753,200 yen (sekitar RM106k) untuk model 1.5 liter, diikuti 4,354,900 yen (RM123k) bagi varian 2.0 liter manual dan 4,382,400 yen (RM124k) untuk model 2.0L automatik.

Bagi MX-5 biasa, model kemaskini 2025 ini menerima sokongan Apple CarPlay tanpa wayar untuk semua varian, manakala warna badan Zircon Sand Metallic kini telahpun digugurkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required