Syarikat induk bagi pengeluar kenderaan Neta, Hozon Auto kini dalam pertimbangan untuk mengurangkan 400 pekerjaan di Thailand, lapor The Nation. Ini berikutan jualan tidak memberangsangkan jenama itu di sana, yang mana bagi tempoh dari Januari hingga November 2024, hanya 6,534 unit Neta V, V-II dan X berjaya dijual (-45.8% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu).
Tidak menamakan sumbernya, akhbar berbahasa Inggeris itu menyatakan 400 pekerjaan itu terdiri daripada pekerja di Neta Auto (Thailand) dan Bangchan General Assembly — kilang Neta yang pertama di luar China. Bagaimanapun, menurut Thai Enquirer, hanya pekerjaan di kilang yang akan terkesan.
Hozon Auto dilaporkan sedang berdepan masalah kecairan tunai akibat jualan yang semakin menurun, menyebabkannya terpaksa menggantung pengeluaran di kilang Zhejiang, China dan mengurangkan pekerja.
Memetik platform perniagaan Creden Data, The Nation melaporkan bahawa Neta Auto (Thailand) mengalami rugi bersih sebanyak 1.8 bilion baht (RM236 juta) pada 2023 berbanding keuntungan 80.77 juta baht (RM10.61 juta) pada 2022. Dalam tempoh lima tahun sejak penubuhannya (2019-2023), untung dan ruginya masing-masing adalah sebanyak 7.78 bilion baht (RM1.02 bilion) dan 1.72 bilion baht (RM226 juta).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.