Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia yang sekarang berada pada 39.95 sen/kWh akan dinaikkan kepada 45.62 sen/kWh (+14.2%) bermula Julai tahun depan, bersama pengenalan jadual tarif baru – lapor The Star.
Perubahan ini tertakluk di bawah tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2027, menggantikan RP3 2022-2024. Walaubagaimanapun, tiada perubahan kadar tarif yang akan dibuat dari Januari ke hujung Jun 2025, bagi memberikan masa kepada rakyat untuk membuat penyesuaian.
“Sebarang perbezaan dari Januari ke Jun 2025 (antara kadar tarif baru dan lama) akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik,” kata Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Bursa Malaysia sambil menambah bahawa pelaksanaan RP4 menunjukkan komitmen kerajaan kepada rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).
“Melalui pelaksanaan RP4 di bawah IBR, TNB komited untuk memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan terjamin kepada pelanggan, meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memudahkan agenda peralihan tenaga negara,” katanya.
Perbelanjaan modal yang dibenarkan untuk RP4 adalah RM42.821 bilion, terdiri daripada perbelanjaan modal asas sebanyak RM26.554 bilion dan perbelanjaan modal luar jangka RM16.267 bilion, manakala perbelanjaan operasi yang dibenarkan ialah sebanyak RM20.782 bilion.
“Kadar pulangan kawal selia kekal pada 7.3% seperti di bawah RP3. Ini akan membolehkan TNB untuk membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” kata firma utiliti tersebut.
Kos penjanaan masih lagi menjadi komponen terbesar tarif elektrik, dengan gas dan arang batu terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini. Sebarang kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
“TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau kedudukan kewangan syarikat,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.