Dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan trafik di Segi Tiga Emas di tengah Kuala Lumpur, pihak berkuasa didakwa sedang mempertimbangkan penutupan beberapa bahagian Jalan Bukit Bintang, lapor New Straits Times.
Pertimbangan tersebut diambil berikutan jumlah trafik yang tinggi, terutamanya ketika waktu puncak, telah menyebabkan kesesakan teruk di kawasan sekitar. Laluan utama dari Pavilion KL ke Jalan Pudu juga selalu terhalang oleh trafik yang sesak dan tidak bergerak ini.
Menurut Ketua Polis KL, Datuk Rusdi Mohd Isa, perbincangan dan kajian lanjut melibatkan pihak berkepentingan kini sedang dijalankan untuk menilai kebolehlaksanaan untuk mengalih laluan serta mengurangkan kenderaan ke dalam kawasan terlibat. “Dengan mengalih trafik dan menutup kawasan berkenaan kepada lalu lintas kenderaan, kita akan dapat mewujudkan zon mesra pejalan kaki. Dengan komunikasi jelas kepada orang awam dan pihak berkepentingan, saya fikir cadangan ini wajar diuji,” jelas beliau kepada Buletin TV3.
Polis juga merancang untuk meningkatkan pemasangan dan penggunaan kamera litar tertutup yang dikuasakan oleh AI untuk meninjau kawasan serta menguatkuasakan undang-undang lalu lintas dari jauh. Beberapa punca kesesakan di kawasan berkenaan telah pun di kenal pasti, termasuk parkir secara salah, lintasan pejalan kaki serta lokasi salah untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Persembahan jalanan yang menarik perhatian ramai juga antara faktornya.
Ketika ini, operasi trafik bersepadu telah dijalankan setiap minggu di Bukit Bintang, yang bertujuan untuk mengesan salah laku dan halangan lalu lintas, antaranya yang melibatkan persimpangan di Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail. Sejak 13 Disember, lebih 1,500 saman telah dikeluarkan, dan 36 kenderaan ditunda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.