Selepas AE4 yang diperkenalkan September lalu, Zeeho kini melancarkan satu lagi skuter elektrik untuk pasaran Malaysia, iaitu AE8 S+. Ia ditawarkan dalam pilihan warna Starship Silver atau Eclipse Silver, dan dijual pada harga RM18,888 tidak termasuk insurans.
Menggerakkan skuter ini adalah motor elektrik dengan kuasa maksimum 12.5 kW (rated 5 kW), tork 218 Nm dan ia mendapat tenaga daripada dua pek bateri lithium masing-masing berkapasiti 69V, 27Ah yang berada di bawah tempat duduknya. Daripada motor ini, kuasa dipindahkan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.
Menurut Zeeho, skuter yang mencatat berat 133 kg ini boleh melakukan pecutan 0-50 km/j dalam masa 2.6 saat, sementara laju maksimumnya pula boleh melebihi 100 km/j. Pengecasan tidak dinyatakan secara terperinci, tetapi ia boleh menerima sumber 1900W dan bateri akan naik 0-80% dalam masa 2.5 jam. Jarak gerak boleh mencecah 100 km.
Sebagai antara model tertinggi dalam pilihan produk Zeeho, AE8 S+ ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih termasuk sistem NFC yang hanya menggunakan kad, meter TFT lima inci, tiga mod tunggangan, auto cruise serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Zeeho Ride.
Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan brek cakera cakera hadapan dan belakang dengan ABS dual-channel, angkup brek Brembo empat piston di hadapan, soket pengecas USB, lampu hadapan LED, fork teleskopik di hadapan, penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang dan rim 12 inci.
Untuk skuter elektrik ini, pengedar Zeeho di Malaysia, MForce Bike Holdings memberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.