Malam kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan sekatan jalan raya di sekitar ibu kota.
Antara yang ditahan ialah sekumpulan remaja yang menunggang basikal secara berbahaya yang kemudiannya dikenakan denda ketuk ketampi secara sukarela dan video adegan tersebut telah pun tular di laman media sosial serta mendapat perhatian netizen yang memuji pendekatan budi bicara yang digunakan oleh pihak polis dan JPJ.
Menurut Ketua JSPT KL sisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua 21 remaja berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam dalam sekatan jalan raya yang dilaksanakan.
“Kumpulan remaja ini dikesan melakukan kesalahan menunggang basikal yang tidak mempunyai brek, loceng, lampu dan menunggang secara berbahaya. Tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 iaitu sekatan ke atas penunggang basikal. Selain itu, tindakan sita juga boleh diambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Walau bagaimana pun, seorang pegawai kanan JSPT Kuala Lumpur bersama seorang pegawai JPJ mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit. Remaja itu diberi denda ketuk ketampi secara sukarela dan bersalaman meminta maaf kepada petugas di sekatan jalan raya itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Mohd Zamzuri berkata, kumpulan remaja ini kemudiannya disuraikan dengan peringatan agar tidak menunggang basikal dan terus pulang ke rumah masing-masing.
“Tindakan ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kumpulan remaja terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan berkenaan. Advokasi seperti ini juga dapat memberi kesedaran dan membantu pesalah muda memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik sekali gus memberi peluang untuk memperbaiki diri dan mengelakkan dari melakukan kesalahan yang sama di kemudian hari,” katanya.
Dalam masa yang sama, JSPT menasihati golongan muda supaya tidak melakukan kesalahan lalu lintas dan menunggang dengan cara berbahaya supaya kecederaan atau kemalangan jiwa dapat dielakkan.
“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk lebih prihatin dan memantau anak-anak supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyalahi undang-undang,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.