Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah Stien Van Lutam, mengesahkan pihaknya berjaya mengutip saman tertunggak lebih RM43,000 hasil operasi khas kenderaan Thailand yang dilakukan antara 17 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025.
Beliau berkata, jumlah kutipan itu dijangka akan terus meningkat disebabkan operasi mengesan kenderaan asing yang memiliki saman tertunggak masih dijalankan, laporan Harian Metro.
“Sejak 17 Disember hingga 31 Disember tahun lalu, pihaknya berjaya mengutip RM29,800 saman tertunggak dari kenderaan-kenderaan asing yang terbabit. Hanya dalam tempoh dua hari selepas itu iaitu pada 1 dan 2 Januari, operasi yang dilakukan itu berjaya mengutip tambahan RM14,100 lagi tunggakan saman.
“Dalam operasi ini, kami mengesan dan menahan kenderaan-kenderaan Thailand yang mempunyai saman aktif di laluan-laluan yang sering dilalui kenderaan dari negara terbabit,” katanya.
Tambahnya, pesalah trafik dari negara jiran itu akan diminta untuk menyelesaikan semua saman-saman aktif sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.
Stien turut berkata, setakat 2 Januari lalu terdapat dua van disita selepas pemandu warga asing terbabit gagal menjelaskan tunggakan saman dimiliki mereka iaitu sebanyak RM18,000 dan RM17,700.
“Pada 2024, kami sudah pun menjalankan pemeriksaan terhadap 9,273 kenderaan dari Thailand berbanding cuma 1,974 pada 2023. Tindakan diambil terhadap pemandu warganegara asing itu juga meningkat kepada 749 berbanding 265 pada tahun sebelumnya.
“Antara kesalahan sering dilakukan adalah tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP), tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta isu-isu teknikal. Pada tahun lalu saja, sebanyak 1,070 kesalahan tiada ICP membabitkan kenderaan dari Thailand dikesan di negeri ini,” katanya
Pada 2 Januari lalu, dilaporkan JPJ mula melaksanakan Op Tunggak di negeri-negeri sempadan dengan tumpuannya di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi mengesan kenderaan asing terutama dari Thailand yang melanggar undang-undang.
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, operasi khas berkenaan dijalankan sepanjang tahun bermula 1 Januari 2025) bertujuan mengesan pemandu asing yang mempunyai saman tertunggak dan mengambil tindakan tegas, termasuk mengarahkan pemandu untuk membayar saman secara serta-merta sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.