Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam mengesahkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai kegiatan ‘ejen kosmetik’ yang menyediakan khidmat kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ pada minggu ini, laporan Berita Harian.
Selain itu, perbincangan itu dijangka memberi perhatian kepada bidang kuasa yang boleh diperhalusi bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil secara bersama oleh kedua-dua agensi terbabit terhadap pihak berkenaan.
Beliau berkata, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, ada menghubunginya semalam (kelmarin), walau bagaimana pun, beliau tidak dapat berkongsi butiran perbincangan di antara mereka sehingga pertemuan yang dirancang itu berlangsung.
“Biar kita bincang dulu dengan JPJ, baru boleh beri kenyataan. Kita belum berbincang lagi dan belum tahu hasil (outcome) daripada perbincangan itu lagi. Perbincangan akan dibuat minggu ini. Beliau ada hubungi saya semalam, selepas selesai bincang (kelak), baru saya boleh beritahu.
“Kita akan bincang dan tengok bidang kuasa apa yang boleh diperhalusi, itu yang kena tengok secara terperinci,” katanya ketika dihubungi penerbitan akhbar terbabit.
Sebelum ini, Berita Harian turut melaporkan JPJ mengakui wujud perkhidmatan digelar ‘ejen kosmetik’ menyediakan khidmat kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ untuk mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Aedy Fadly dilaporkan berkata JPJ sedang merangka tindakan melalui kerjasama dengan KPDN bagi menangani isu berkenaan. Katanya, tindakan itu satu penipuan yang berbahaya kerana ketika menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM mereka menggunakan tayar kenderaan yang disewa dan elok keadaannya berbanding tayar sebenar. Bagaimanapun, katanya, JPJ tiada kuasa untuk masuk ke premis berkenaan dan pihaknya akan berbincang dengan KPDN berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Pada 23 Disember lalu, satu kemalangan yang melibatkan sebuah bas persiaran, dua lori trailer, sebuah MPV dan sebuah kereta telah berlaku di Lebuhraya PLUS berdekatan Alor Gajah. Kejadian berkenaan meragut tujuh nyawa dengan 33 orang lagi cedera, yang dikatakan berpunca daripada bas tersebut terlanggar sebuah tayar dari salah satu lori trailer yang terlibat yang tercabut dan berada di tengah lebuhraya. Kemudian, beberapa video tular di laman media sosial yang memaparkan kejadian berasingan tetapi melibatkan tayar kenderaan berat yang tercabut, hingga mencetuskan kegusaran di kalangan pengguna mengenai keselamatan di jalan raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.