Lynk & Co secara rasminya memperkenalkan SUV perdana baru mereka di China. Sebelum ini dikenali dengan nama kod L946, kenderaan paling besar jenama itu sekarang dipanggil sebagai Lynk & Co 900 dan dijangka mula dijual Mac tahun ini.
Betul-betul besar, SUV ini mencatat ukuran panjang 5,240 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,810 mm dan jarak roda 3,160 mm. Antara tanda rekaan unik yang dibawa adalah termasuk lampu hadapan bertingkat dengan DRL berbentuk H di atas serta susunan LED kecil melintang yang boleh memaparkan pelbagai grafik. Konsep sama digunakan pada bahagian belakang dengan lampu yang nipis serta jalur LED melintang di tengah.
Model ini tidak mempunyai gril seperti kereta biasa, sementara bahagian bawah bampar menggunakan panel aktif yang boleh dibuka dan ditutup. Di bahagian tepi anda akan melihat pembuka pintu sama rata dengan badan serta satu bahagian seperti tiang untuk memegang cermin sisi dan turut menempatkan beberapa sensor.
Masuk ke dalam, 900 menawarkan tempat duduk untuk sehingga enam orang (2-2-2), dengan yang di hadapan boleh menikmati paparan daripada skrin sesentuh 30 inci dengan resolusi 6K, yang juga menjadi pengawal infotainmen utama. Di hadapan pemandu terdapat skrin 12.66 inci untuk paparan instrumen. Turut disediakan adalah dua pad pengecas tanpa wayar dan beberapa butang kawalan penting di konsol tengah.
Mereka yang berada di tempat duduk baris kedua pula disediakan dengan skrin sesentuh 30 inci, 6K yang diturunkan dari atas bumbung, bersama panel kawalan kecil dan peti sejuk di bahagian konsol tengah. Sistem di dalam kokpit kenderaan ini dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295.
Lynk & Co sangat berbangga dengan ciri praktikaliti 900, dengan memberitahu ia mempunyai lebih daripada 42 ruang simpanan. Mereka juga mendakwa SUV ini mempunyai ruang kepala dan kaki terbaik dalam kelasnya, dengan ruang bergerak sehingga 550 mm bagi tempat duduk baris kedua, sementara tempat duduk baris ketiga mempunyai penyandar yang boleh dilaras dan ruang bergerak 125 mm.
Ruang simpanan di belakang juga tidak kekurangan, dengan 300 liter kapasiti disediakan apabila semua tempat duduk tegak, ditambah dengan 20 liter lagi di bawah lantai. Pintu but menggunakan bukaan yang terbelah dua seperti Range Rover, memberikan akses kepada ruang simpanan sedalam 590 mm, lebar 1,130 mm dan tinggi 786 mm. Rak bumbung boleh menampung sehingga 100 kg.
Untuk penggerak, 900 dibina atas platform SPA Evo dan datang dengan penyerap kawalan berterusan (CDC) serta susupensi udara. Pembeli diberikan pilihan tiga tetapan, bermula daripada plug-in hybrid (PHEV) yang menggunakan enjin 1.5 liter turbo dengan motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW), atau padanan yang menggunakan motor elektrik 313 PS (308 hp atau 230 kW) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 721 PS (711 hp atau 530 kW).
Varian yang lebih berkuasa juga adalah PHEV, tetapi menggunakan enjin 2.0 liter turbo. Satu daripadanya menggunakan padanan motor elektrik 167 PS (165 hp atau 123 kW) di hadapan dan motor 313 PS (308 hp atau 230 kW) di belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 734 PS (724 hp atau 540 kW).
Varian yang lebih laju daripada itu menggunakan motor hadapan yang sama, tetapi setiap roda di belakang mendapat motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW), untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 857 PS (845 hp atau 630 kW).
Antara catatan prestasi yang didedahkan adalah termasuk laju maksimum 200 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat, berkemungkinan adalah untuk varian paling tinggi. Laporan CarNewsChina mengatakan, casis digital AI dan rear-axle steering 900 ini membolehkan ia bergerak melintang ke tepi dan melakukan pusingan U tajam. Fungsi ADAS kenderaan ini dikuasakan oleh cip Nvidia Orin X atau Thor, tetapi perinciannya masih belum didedah, termasuk harganya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.