Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan tempahan bagi Volvo EX30 untuk versi pemasangan tempatan (CKD) telah pun dibuka. Dilancarkan pada September 2024, kumpulan pertama bagi EV yang diimport (CBU) dari China telah pun habis dijual.
Bagi EX30 CKD buatan tahun 2025, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Ultra yang dijual pada harga bermula RM208,888 dan juga Ultra Twin Performance pula berharga RM228,888. Seperti kelaziman yang dilakukan oleh Volvo, harga CKD adalah sama dengan kumpulan pertama versi CBU. Walau bagaimana, varian asas Plus yang ditawarkan pada harga RM188,888 kini tiada. Ini bermakna barisan EX30 kini bermula dengan harga di atas RM200k.
Varian Ultra dengan motor tunggal mampu menghasilkan kuasa hingga 272 PS dan tork 343 Nm, sesuai untuk mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat. Manakala Ultra Twin Performance pula ditambah satu lagi motor untuk AWD dengan kuasa 428 PS dan tork 543 Nm dan 0-100 km/j dapat dicapai dalam 3.6 saat. Kedua-duanya dijanakan oleh bateri NMC 69 kWH, menawarkan jarak gerak hingga 476 km mengikut standard WLTP untuk motor tunggal dan 450 km untuk motor berkembar. Ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 175 kW dengan tahap pengecasan 10-80% dapat dicapai dalam 28 minit.
VCM juga mempromosikan Volvo Car Service Plan (VSP), yang meliputi penyelenggaran penting seperti penggantian penapis udara kabin, pemeriksaan cecair brek, penggantian bilah pengelap dan kemaskini perisian sehingga lima tahun atau 100,000 km. Komponen Wear-and-tear seperti pad brek dan cakera juga disertakan supaya tiada kos tambahan untuk lima tahun akan datang.
Waranti EX30 ialah lima tahun perbatuan tanpa had untuk kereta dan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri voltan tinggi yang menjamin prestasi, dengan pembaikan atau penggantian percuma jika kapasiti jatuh di bawah 70% dalam tempoh waranti. Turut disertakan ialah bantuan tepi jalan 24 jam untuk tempoh lima tahun.
Berkenaan dengan warnanya pula, versi CKD 2025 ini didatangkan dengan pilihan Cloud Blue, Vapour Grey dan Crystal White, bermakna warna Onyx Black dan Moss Yellow yang ditawarkan pada model CBU tidak disertakan dalam barisan CKD. Pemasangan pertama dari kilang Volvo di Shah Alam akan mula dihantar kepada pelanggan pada minggu kedua minggu ini.
GALERI: Volvo EX30 CBU dalam rona Moss Yellow
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.