Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.
Menurut beliau, pelaksanaan tersebut bagi membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan, laporan Bernama.
Buat masa ini, pelaksanaan kamera AwAS diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.
“Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.
“Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.
Sebagai permulaan, katanya, pelaksanaan ini akan dilakukan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.
“Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.
“Kaedah sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya yang turut berharap penambahbaikan sistem AwAS dengan mekanisme point-to-point boleh menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.