Meneruskan momentum kegemilangannya dalam industri automotif, Perodua berjaya mencatat jualan sebanyak 358,102 unit kenderaan bagi tahun 2024, iaitu rekod pendaftaran tertinggi dengan peningkatan sebanyak 8.4%, sekaligus mengatasi pencapaian pada tahun 2023 iaitu 330,325 unit kenderaan.
Bagi aspek produksi, Perodua telag mengeluarkan sejumlah 368,100 kenderaan pada tahun lalu yang juga jumlah pengeluaran tertinggi sepanjang 30 tahun operasi jualannya, dengan peningkatan sebanyak 7.2 % berbanding 343,400 yang dicatatkan pada 2023.
“Kami telah mengatasi kapasiti asal kami sebanyak 320,000 unit dan ia menunjukkan penyelarasan yang telah dilaksanakan secara dinamik dalam memenuhi objektif bersama. Pencapaian ini menunjukkan potensi sebenar kami dan akan menjadi penanda aras bagi industri untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
“Berhubung prestasi industri, kami menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan melebihi 814,000 unit kenderaan bagi tahun 2024 dan daripada jumlah itu, 44% disumbangkan oleh Perodua. Berdasarkan peratusan itu, kami menjangka Perodua akan menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun lalu.
“Pencapaian ini juga membuktikan bahawa kualiti dan kuantiti boleh bergerak seiring jika semua pihak berkomunikasi dan berkoordinasi dengan baik. Untuk itu, kami ingin berterima kasih kepada kakitangan kami kerana telah membuktikan kita boleh melakukan lebih daripada apa yang dijangka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Perodua juga menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan melebihi 814,000 unit kenderaan bagi tahun 2024 dan daripada jumlah itu, 44% disumbangkan oleh Perodua. “Berdasarkan peratusan itu, kami menjangka Perodua akan menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun lalu,” tambahnya lagi.
Bagi asas suku ke suku tahun, pendaftaran kenderaan Perodua adalah sebanyak 97,741 unit antara Oktober ke Disember 2024, peningkatan sebanyak 0.7% daripada 97,098 unit yang dicatatkan pada suku yang sama tahun 2023.
“Kami percaya tahun 2025 akan memberikan peluang dan cabaran baharu buat kami, termasuklah persaingan yang semakin meningkat daripada jenama automotif baharu dalam pasaran,” kata Dato’ Sri Zainal.
Satu cabaran baharu bagi syarikat ini ialah pengenalan kenderaan elektrik (EV) pertamanya keluarannya, yang dibangunkan sendiri kerana rakan kongsi globalnya, Daihatsu, tidak mempunyai model yang bersesuaian untuk tujuan tersebut. Perodua telah mempertontonkan model konsep EV pertamanya yang diberi nama eMO-II dalam penganjuran KLIMS 2024. Ia dijangka akan diperkenalkan secara rasminya pada suku akhir tahun ini, yang ditawarkan dengan harga antara RM50,000 hingga RM90,000. Butiran mengenai eMO-II boleh dibaca menerusi PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.