Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang untuk melaksanakan siri operasi khas menerusi perkongsian stategik data-data dan maklumat perisikan oleh kedua-dua agensi. Ia adalah bagi membanteras isu mengenai tayar khususnya melibatkan kenderaan berat yang sedang hangat diperkatakan termasuk penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Keputusan itu dimuktamadkan setelah kedua-dua agensi terbabit mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Penguatkuasaan dan Penubuhan Task Force JPJ – KPDN di ibu pejabat JPJ di Putrajaya pagi tadi. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Dato’ Aedy Fadly Ramli, yang turut disertai oleh Datuk Azman Adam selaku Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Jazmanie Shafawi (Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ), Tuan Muhammad Kifli Mat Hassan (Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ), wakil MIROS dan lain-lain.
Di mana menerusi operasi khas yang bakal dilaksanakan itu, kerjasama jitu daripada KPDN diperlukan untuk bersama-sama terlibat secara langsung dalam operasi di lapangan bagi membanteras isu utama yang semakin berleluasa iaitu tayar. Ini termasuklah memantau penggunaan tayar celup menerusi operasi di lapangan secara SJR (sekatan jalan raya) oleh JPJ dan juga melibatkan penguatkuasa KPDN.
Selain itu, kedua-dua agensi terbabit juga akan membuat pemeriksaan terhadap premis yang menjual tayar celup secara haram tanpa permit dan lesen sah dalam masa terdekat.
Dato’ Aedy Fadly turut berkata jika tayar celup didapati tidak mematuhi spesifikasi, pasukan akan menyiasat sumber pembelian tayar tersebut dan mengambil tindakan lanjut terhadap premis yang terlibat menerusi akta dan peruntukan undang-undang KPDN.
Sebelum ini, media melaporkan JPJ mengakui wujud perkhidmatan digelar ‘ejen kosmetik’ yang menyediakan khidmat kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ untuk mendapat kelulusan Puspakom. Di mana tindakan itu satu penipuan yang berbahaya kerana ketika menjalani pemeriksaan di Puspakom, mereka menggunakan tayar kenderaan yang disewa dan elok keadaannya berbanding tayar sebenar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.