Selepas dilancarkan di Thailand dan Hong Kong, Geely bersedia untuk membawa EX5 unuk ke pasaran Indonesia pula pada bulan ini. Menurut laporan portal berita tempatan Kompas, pengeluar kereta China itu telah menghantar jemputan media untuk pelancaran SUV elektrik berkenaan yang bakal berlangsung pada 22 Januari ini.
EX5 ialah versi global bagi Galaxy E5, yang merupakan kembar Proton eMas 7 yang dilancarkan baru-baru ini. Ketiga-tiga model ini menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu satu motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm tork, membolehkannya memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam 6.9 saat.
Dua saiz bateri lithium iron phosphate (LFP) bilah pendek Aegis daripada Geely sendiri ditawarkan – unit 49.52 kWj yang memberikan jarak gerak hingga 345 km serta pek 60.22 kWj yang membolehkan EX5 bergerak sehingga 410 km dengan sekali cas. Kedua-dua angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP yang lebih realistik, dengan yang terakhir menjangkau 430 km. Ia juga ditawarkan dengan dua saiz roda iaitu 18- dan 19-inci.
Harganya masih belum didedahkan, namun tidak mungkin Indonesia dapat mengatasi harganya di Malaysia. Di sini, model tersebut (yang dikenali sebagai eMas 7) adalah yang paling murah di luar China, iaitu sekitar RM109,800 untuk varian Prime dengan pek bateri 49.52 kWh dan Premium pula berharga RM123,800 yang dibekalkan bateri berkapasiti 60.22 kWh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.