Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO), Transit Malaysia menyokong penuh terhadap cadangan menjadikan Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur sebagai kawasan pejalan kaki, laporan Bernama.
NGO itu dalam satu kenyataan berkata kesesakan dialami setiap hari di jalan raya berikutan kenderaan persendirian diletakkan di tepi jalan tiga lorong itu, sering menyebabkan trafik terganggu pada waktu puncak seperti hujung minggu dan petang apabila ada jumlah kenderaan persendirian tinggi di pusat bandar.
“Dengan merekabentuk semula untuk menampung lebih ramai orang yang berkunjung ke Bukit Bintang dengan berjalan kaki atau yang menggunakan pengangkutan awam, Jalan Bukit Bintang akan mengekalkan ‘tenaganya’, tidak kira keadaan lalu lintas,” kata NGO itu.
Bulan lalu, pihak berkuasa tempatan dikatakan sedang mempertimbangkan penutupan bahagian utama Jalan Bukit Bintang dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas, dan Ketua Polis KL Datuk Rusdi Mohd Isa berkata bahawa perbincangan dan kajian lanjut dengan pihak berkepentingan sedang dijalankan bagi menilai kebolehlaksanaan, mengubah hala dan mengurangkan kenderaan di kawasan terlibat.
Bagi menyokong mengurangkan kesesakan di kawasan itu, Transit Malaysia turut mencadangkan rekabentuk semula persimpangan Jalan Bukit Bintang-Jalan Sultan Ismail bagi membolehkan pejalan kaki melintas jalan dari semua arah, dan pada selang masa yang lebih kerap serta memperkenalkan lorong bas sahaja untuk meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam.
Selain itu,penambahan ruang pejalan kaki boleh merangsang pertumbuhan perniagaan di kawasan itu, menurut Transit Malaysia. “Kawasan itu mempunyai akses yang baik terhadap pengangkutan awam, dengan sambungan ke Laluan MRT Kajang, Laluan Monorel KL dan beberapa laluan bas GoKL,” katanya sambil menambah bahawa laluan pejalan kaki ke KLCC juga membantu ketersambungan pejalan kaki antara tarikan utama di bandar ini.
Meski pun menyokong inisiatif berkenaan, NGO tersebut menyedari kebimbangan perniagaan tempatan yang bergantung kepada akses kenderaan persendirian, dan menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melibatkan pihak berkepentingan dalam menangani isu tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.