Susulan daripada penggantungan tugas enam kakitangan Puspakom yang disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 lagi pemeriksa kenderaan di pusat pemeriksaan kenderaan di Kuala Lumpur berkenaan isu sama – lapor Bernama.
Menurut sumber yang dipetik oleh Bernama, suspek yang berusia antara 20 ke 40 tahun ditahan sewaktu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan. Sehingga kini, SPRM telah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua orang runner yang terlibat dalam sindiket tersebut.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada ‘runner‘ sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di mana mereka bertugas. Penahanan semua suspek adalah susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu dan juga hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini,” kata sumber tersebut.
Siasatan berkenaan sindiket pemeriksaan kenderaan oleh SPRM ini akan diluaskan ke pusat pemeriksaan kenderaan seluruh negara, dan tidak hanya terhad di Kuala Lumpur, kata ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam laporan New Straits Times.
“Berdasarkan kerjasama kami dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom, kami juga akan membuat siasatan di pusat pemeriksaan lain dalam negara,” kata Azam.
Penahanan yang dibuat telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, yang memberitahu bahawa kes akan disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 dan kesemua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.