Menerusi Tokyo Auto Salon tahun ini, Honda telah memperkenalkan varian ‘Racing Black Package’ baharu untuk Civic Type R, di mana ruang kabinnya telah ditukarkan dari rona merah kepada hitam. Harga yang ditetapkan ialah 5,998,300 yen (sekitar RM172k), atau hanya lebih satu juta yen berbanding Civic Type R biasa yang berharga 4,997,300 yen (RM143k).
Dengan Racing Black Package, upholstery merah suede kini ditukarkan dengan hitam suede, di mana penukaran warna ini juga diaplikasikan untuk karpet dalam dan alas lantai. Jahitan kelabu turut digunakan merentasi ruangan kabin, hanya tali pinggang keselamatan, lencana pada roda stereng dan pencahayaan ambien sahaja yang dikekalkan dengan serlahan merah.
Di samping perubahan ini, Honda turut menggantikan kemasan berkilat pada kawalan suhu dan corong udara dengan kemasan lebih gelap, sementara papan pemuka bergetah dibaluti material suede untuk mengurangkan pantulan cahaya. Cermin pandang belakang dengan fungsi kelam automatik juga diberikan untuk versi ini.
Walau pun ruang kabin diberikan serlahan hitam, namun bahagian luarannya masih ditawarkan dengan beberapa pilihan warna, termasuk Championship White, Sonic Gray Pearl (dengan kos tambahan), Crystal Black Pearl, Frame Red and Racing Blue Pearl.
Manakala penjana kuasanya tidak diberikan sebarang perubahan, ia dikekalkan dengan enjin K20C 2.0 liter empat-silinder sebaris VTEC Turbo yang mampu menghamburkan hingga 330 PS (326 hp atau 243 kW) pada 6,500 rpm dan tork 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm. Kotak gear manual enam-kelajuan hanya satu-satunya transmisi yang ditawarkan bagi memacu roda hadapan.
GALERI: Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Tokyo Auto Salon 2025
GALERI: Gambar rasmi Honda Civic Type R Racing Black Package 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.