Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 22,201 notis terhadap kenderaan perdagangan dalam Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ yang dijalankan di seluruh negara bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan.
Menurut agensi penguatkuasaan terbabit, sepanjang operasi tersebut yang dijalankan sejak 25 Disember 2024 sehingga ke hari ini, sebanyak 88,034 kenderaan perdagangan telah diperiksa, 22,201 notis telah dikeluarkan, kenderaan diambil tindakan (9,661) dan 77 buah telah disita.
“Pihak JPJ juga telah mengesan hampir 7,000 kenderaan perdagangan dikesan telah melakukan kesalahan teknikal seperti tidak selenggara kenderaan dengan baik, tayar tidak mengikut spesifikasi, tidak jaga tayar dengan baik/haus berlebihan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Berkenaan dengan Ops Khas Puspakom pula, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang ia dilaksanakan sejak 30 Disember 2024, pihaknya telah mengadakan pemeriksaan terhadap 37 buah Puspakom di seluruh negara dan hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 21 buah kenderaan telah disita.
“Pihak JPJ telah mengesan kesalahan kenderaan yang disita adalah melibatkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.
“Daripada jumlah sitaan tersebut, JPJ turut mengesan sebuah lori telah diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan tersebut tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan. Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil dibawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan,” kata Aedy Fadly.
Berikutan daripada kes tersebut, tambahnya, JPJ telah mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes yang melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom. Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.
“JPJ Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.