Selepas dipertontonkan menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 pada bulan lalu, Proton telah mengumumkan Proton X50 Sport Edition bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada Khamis ini, 16 Januari. Anda boleh menyaksikan pelancaran rasminya secara maya menerusi Facebook, TikTok dan YouTube pada jam 9 malam.
Difahamkan, SUV keluaran khas ini “hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja”. Ketika ia dipertontonkan di KLIMS, ia diserlahkan dengan kit badan yang terdiri daripada splitter hadapan, side skirt dan tambahan panel pada bampar belakang, dan ia nampak berbeza dengan X50 R3 sebelum ini kerana diberikan jaluran merah termasuk pada bahagian tepi pintu dan gril.
Menjadikan SUV ini lebih garang adalah penggunaan warna serba gelap pada kebanyakan bahagian termasuk kemasan pada pintu but (biasanya berwarna krom satin) serta rim 18-inci yang diambil daripada Geely Binyue varian bawah. Melengkapkan penampilannya adalah lencana Sport Edition di bahagian belakang dan ia juga diberikan plet tepi pintu, pengacas Qi tanpa wayar, alas kaki baru serta dulang barangan di belakang.
X50 Sport Edition ini menggunakan asas daripada model Premium yang berharga RM101,800, bermakna ia menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 226 Nm.
Ini bermakna sistem bantuan termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist yang ada pada varian Flagship tidak akan diberikan pada X50 Sport Edition ini.
“Nantikan pengumuman khas semasa acara itu!”, kata Proton menerusi kapsyen yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya. Agak-agak apakah pengumuman tersebut? Nantikan bersama kami pada Khamis ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.