Dari Tokyo kami bawa anda untuk menjenguk apa yang ada di Tokyo Auto Salon tahun ini. Antara yang menarik perhatian adalah model Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition, yang akan ditawarkan bermula 19 Mac nanti di Jepun, dan hanya untuk tempoh masa terhad antara Mac-November 2025.
Dari sudut mekanikal, model ZC33S Final Edition tidak berbeza daripada Swift Port Standard generasi ketiga yang sedia ada. Ia menggunakan enjin K14C 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol dengan janaan sebanyak 140 PS (138 hp atau 103 kW) pada 5,500 rpm dan 230 Nm tork dari 2,500 hingga 3,500 rpm. Ada dua pilihan transmisi: manual enam-kelajuan dengan harga 2,329,800 yen (about RM67k) atau automatik enam-kelajuan dengan harga 2,401,300 yen (RM69k).
Perbezaan aspek penggayaan pula melibatkan gril depan dengan penyudah hitam berkilat serta kemasan lampu kabus, dengan rim 17-inci bersama profile tayar 195/45 yang turut menerima penyudah yang sama. Selain itu, angkup brek warna merah diberikan, serta hiasan ZC33S di tiang C dan juga lencana merah/hitam di bahagian belakang.
Di dalam, kemasan unik di bahagian papan pemuka, panel pintu serta konsol tengah dengan kesan khas boleh dilihat, yang tidak ketinggalan tulisan ‘Sport’ dan ‘ZC33S powered by Suzuki’ di beberapa bahagian lain. Kemasan stereng pula dalam warna perak berkilau.
Walaupun ini semacam salam selamat tinggal bagi Swift Sport semasa, ada khabar angin yang mengatakan Suzuki sedang membangunkan versi baru model hot hatch ini, untuk versi generasi keempatnya, walaupun masih belum ada sebarang pengesahan diberikan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.