Zeekr mendedahkan model terbaru mereka, 007 GT melalui satu siri gambar awal yang menunjukkan bahagian luarnya yang berbentuk shooting brake/station wagon. Ia menyusuli 007 sedan yang didedahkan kali pertama pada November 2023 dan seterusnya dilancarkan untuk pasaran pada Ogos 2024.
Menurut CarNewsChina, 007 GT ini akan dijual di China dalam empat varian iaitu Smart RWD pada harga 209,900 yuan (RM128,457), Long Range RWD dan Smart AWD, kedua-duanya pada harga 229,900 yuan (RM140,693), dan Performance AWD, pada 299,900 yuan (RM183,532).
Melihat daripada gambar ini, 007 GT menggunakan konsep rekaan yang kebanyakannya adalah sama seperti 007 GT kecuali bumbung yang lebih panjang dan bersambung dengan bahagian belakang dengan lebih membulat, serta datang bersama rel bumbung.
Versi motor tunggal, RWD bagi 007 GT ini akan menggunakan motor 310 kW (422 PS), yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, sementara versi pacuan semua roda menggunakan motor 165 kW (224 PS) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 375 kW (510 PS) dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.84 saat – sama seperti 007 sedan varian paling tinggi.
Platform yang digunakan pada 007 GT ini dikatakan sama seperti 007 sedan, bermakna ia adalah PMA2+ daripada kumpulan SEA oleh Geely dan boleh menerima binaan elektrikal 800 volt.
Bergantung kepada varian, bateri yang akan digunakan adalah sama ada LFP atau NMC, dengan jarak gerak antara 616 km ke 870 km mengikut standard ujian CLTC China. Menurut Zeekr, 007 GT ini akan dilancarkan untuk pasaran secara rasmi pada separuh kedua tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.