Wakil dari Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengesahkan kepada paultan.org bahawa model SUV GWM Tank 500 — yang dipertontonkan ketika Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 — akan dilancarkan di sini pada tahun ini. SUV tujuh-tempat duduk binaan body-on-frame ini mungkin akan ditawarkan dalam bentuk HEV (bukan plug-in) sebagai permulaan.
Versi ini menggunakan tetapan enjin 2.0 liter turbo cas empat-silinder yang menjana 244 PS/380 Nm yang digandingkan bersama sebuah motor elektrik 106 PS/268 Nm serta transmisi automatik hidraulik (HAT) sembilan-kelajuan untuk menghasilkan output keseluruhan 350 PS dan 616 Nm.
Turut tersedia adalah pacuan empat roda differential-lock di depan dan belakang, gear 4L serta kamera 360-darjah termasuk Body Transparent System yang membolehkan anda melihat bahagian bawah kenderaan ketika ia melalui permukaan mencabar. Ada juga pemijak tersorok, paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci.
Untuk pasaran global, Tank 500 turut ditawarkan dalam versi petrol bukan hibrid dengan enjin 3.0 liter NA V6 355 PS/500 Nm, enjin diesel 2.4 liter turbodiesel 186 PS/480 Nm serta dua versi sistem janaan plug-in hybrid (PHEV), yang dikenali sebagai Hi4-T dan Hi4-Z.
Selain Tank 500, Haval H9 generasi kedua juga ada ura-ura akan tiba di Malaysia, memandangkan model asal sebelumnya pernah dipertontonkan di sini (dan mungkin pernah dijual dalam angka yang kecil). Jika ia tiba, mungkin bukan dalam masa terdekat kerana ia sedang melalui pembangunan untuk versi pemanduan sebelah kanan.
GWM Tank 500 di KLIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.