Selepas kapcai FR150, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan satu lagi model daripada jenama Voge, dan kali ini adalah sebuah cruiser yang membawa nama CU525. Ia dijual pada harga RM29,888 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu hitam, biru dan hijau.
CU525 dipacu oleh enjin dua silinder selari 494 cc dengan sistem penyejukan cecair dan DOHC, menghasilkan kuasa maksimum 53 hp pada 8,500 rpm dan tork 50.5 Nm pada 7,000 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan tali sawat.
Datang dengan rim aluminium 16 inci di hadapan dan belakang, CU525 nampak seakan sebuah bobber dengan tayar hadapan setebal 130/90 di hadapan, sementara di belakang pula menggunakan tayar 150/80. Ia masing-masing dipegang oleh fork USD (tanpa pelarasan) dan dua penyerap hentak.
Menjalankan tugas penghentian adalah brek cakera tunggal dengan angkup J.Juan di hadapan dan belakang, bersama dengan sistem ABS dual-channel dan sistem keselamatan turut dibantu lagi dengan kawalan cengkaman. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 178 kg.
Turut disediakan pada CU525 adalah lampu LED, panel meter digital, tangki bahan api 15 liter, lencana tepi yang menyala serta dua peredam bunyi yang keluar di bahagian kanan motosikal.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.