Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2022, Yamaha R15M kini ditawarkan dalam warna baru untuk model keluaran tahun 2025. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) masih lagi sama, iaitu RM14,998 tidak termasuk insurans.
Warna baru ini dipanggil sebagai Signature Black, dan ia menggunakan tangki berwarna perak sementara fairing hadapan dan panel tempat duduk belakang berwarna hitam. Sebagai kontras, rim aluminium dijadikan warna biru dan dipegang fork hadapan warna emas.
Spesifikasi motosikal sport permulaan ini tidak berubah, bermula dengan enjinnya yang merupakan unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.
Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.
Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.
Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.