Berita ini mungkin bakal memberikan perkhabaran yang kurang menyenangkan buat pengguna petrol RON 97 dan juga diesel kerana Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga bagi kedua-dua bahan api berkenaan dinaikkan sekali lagi untuk minggu bertarikh 16 hingga 22 Januari 2025.
Di mana harga runcit petrol RON 97 dinaikkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM3.38 seliter, berbanding RM3.33 seliter pada minggu sebelum ini.
Walau bagaimana pun, harga runcit RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Manakala harga runcit bagi diesel untuk pasaran Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak lima sen seliter, daripada RM3.03 seliter kepada RM3.08 seliter. Namun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Pada minggu lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.
Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.