Selepas membuat kemunculan pertama di pameran EICMA tahun lepas, KTM 390 SMC R kini diperkenalkan secara rasmi bersama segala perinciannya. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, variasi baru bagi barisan model 390 pengeluar Austria ini membawa karekter sebuah supermoto sebagai tambahan kepada 390 Duke dan 390 Adventure.
Pakej penggerak yang digunakan adalah sama seperti 390 Duke 2025, iaitu unit LC4c satu silinder 398.7 cc bersama transmisi enam kelajuan dengan klac slipper PASC, menghasilkan kuasa maksimum 44 hp dan tork 39 Nm. Demi menyesuaikan penyampaian kuasa dengan keadaan, penunggang boleh memilih sama ada mod Street atau Sport.
Walaupun dibangunkan menggunakan asas serta kerangka Trellis daripada 390 Duke, KTM memberitahu, beberapa perubahan dibuat termasuk sudut steering head, triple clamp, kedudukan subframe dan ciri ketegaran bagi mendapatkan karekter yang dimahukan.
Suspensi menggunakan unit fork hadapan WP Apex 43 dengan pelarasan pra beban dan lantunan, menyediakan jarak gerak 230 mm di hadapan, sementara di belakang pula menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban, menyediakan jarak gerak sama, 230 mm.
Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim spoked (juga ada pilihan unit aluminium) 17 inci, dibalut tayar masing-masing 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Tugas penghentian pula dijalankan oleh tetapan cakera tunggal 320 mm di hadapan dengan angkup Bybre dua piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup ByBre satu piston di belakang. Sistem ABS disediakan dalam dua mod iaitu Standard dan Supermoto.
Informasi penting untuk tatapan penunggang dipaparkan melalui panel TFT 4.2 inci, yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk akses muzik, panggilan dan navigasi. Kapasiti tangki bahan api yang disediakan adalah sembilan liter, sementara tinggi tempat duduk 390 SMC R ini adalah 860 mm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.