PLUS Malaysia Behrad (PLUS) telah mengumumkan terdapat ujian kalibrasi bagi pemasangan Kamera (Automated Awareness Safety System – AwAS) dijalankan di KM258.25 (Arah Utara) dan KM262.5 (Arah Selatan) di Jajaran Terowong Menora/Meru.
Di mana ujian berkenaan dijadualkan berlangsung pada hari ini (15 Jan) dari jam 11 malam hingga 3 pagi di KM258.25 (arah utara) menghala ke Pulau Pinang dan esok (16 Jan) juga pada waktu yang sama melibatkan laluan di KM262.5 (arah selatan) arah ke Ipoh.
Bagi kelancaran ujian ini, PLUS juga akan melaksanakan penutupan lorong dan mengaktifkan laluan kontra di lokasi terlibat. Anda boleh rujuk grafik di atas.
“Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kamera AWAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.
“Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.
“Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.
Laluan di Terowong Menora/Meru di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya KK-Karak, yang dianggap sebagai lokasi berisiko tinggi, akan menjadi lokasi pertama yang menerima kamera had kelajuan AWAS point-to-point ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.