Pasaran Malaysia menerima satu lagi skuter baru di awal tahun 2025 dan kali ini adalah daripada Aveta, iaitu Vanguard 250. Dua versi ditawarkan, bermula dengan Standard yang berharga RM14,888 dan Special Edition (SE) pada harga RM16,388.
Namun sebagai promosi, untuk 200 unit pertama, Vanguard 250 ini diberikan dengan diskaun sebanyak RM400, menjadikan harganya RM14,488 untuk versi Standard, dan RM15,988 bagi versi SE. Semua harga ini adalah tidak termasuk insurans, dan didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Vanguard 250 sebenarnya berkongsi enjin yang sama dengan beberapa model jenama lain yang sudah berada dalam pasaran Malaysia, dan merupakan unit satu silinder suntikan bahan api 244.2 cc yang berkemampuan 24.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik CVT.
Kelengkapan lain yang didatangkan secara standard untuk kedua-dua versi adalah termasuk sistem kunci pintar, tangki bahan api 13 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.5 liter, dua poket barangan, soket pengecas USB, ABS dual-channel, sistem kawalan cengkaman serta penghadang angin hadapan boleh laras secara manual.
Melalui harga RM1,500 lebih tinggi berbanding varian Standard, SE mempunyai beberapa kelebihan termasuk fork teleskopik 37 mm, penyerap hentak belakang dengan tabung gas, angkup empat piston di hadapan dan dua piston di belakang, padanan rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 14 inci dengan tayar 140/70 di belakang, panel meter TFT tujuh inci yang boleh disambung kepada telefon pintar, kamera hadapan, pemerhati tekanan angin tayar serta sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup.
Sebagai perbandingan, varian Standard datang dengan fork teleskopik 33 mm, dua penyerap hentak biasa di belakang, angkup brek dua piston di hadapan (cakera masih sama, 260 mm), rim 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 13 inci dengan tayar 140/60 di belakang serta panel meter LCD biasa.
Berat keseluruhan Vanguard 250 adalah 177 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 780 mm. Varian Standard cuma datang dalam warna Nano Grey, sementara varian SE datang dalam pilihan warna Majestic Green atau Titanium Grey.
GALERI: Aveta Vanguard 250 Standard
GALERI: Aveta Vanguard 250 Special Edition
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.