BMW Motorrad hari ini turut memperkenalkan motosikal BMW R 12 Serba Baru, yang menampilkan rekaan klasik yang digabungkan dengan kuasa dari enjin ikonik BMW serta teknologi inovatif untuk pasaran tempatan dengan harga RM123,000.
Jentera ini dilengkapi enjin R boxer dua-silinder empat-lejang dengan kapasiti 1,170cc sejukan cecair serta empat-injap di setiap silinder, dan menghasilkan output sebanyak 95hp pada 6,500 rpm dan tork 110 Nm pada 6,000 rpm dengan kelajuan maksimum melebihi 200 km/j. Unit ini digandingkan pula dengan kotak gear enam-kelajuan yang lancar dan responsif.
Enjin ini juga membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat. Kadar penggunaan minyak pula adalah 5.1 liter per 100 km. BMW R 12 serba baru ini mempunyai dimensi 2,200 mm panjang, 830 mm lebar dan 754 mm tinggi. Berat keringnya pula ialah 227 kg.
Dari segi kelengkapan, BMW R 12 serba baru ini antara lain hadir dengan lampu depan dan belakang LED — dengan lampu depan Adaptive Pro dan Dynamic Brake Light di belakang.
Menawarkan beberapa Mod Penunggangan termasuk Rock & Roll, BMW R 12 serba baru ini mampu disesuaikan untuk tunggangan dalam pelbagai keadaan dan persekitaran, sekaligus memberikan pengalaman penunggangan yang lancar. Tidak ketinggalan, ia turut didatangkan dengan fungsi kawalan cengkaman dinamik (DTC), sistem brek anti-kunci ABS Pro dengan sudut kecondongan yang optimum daripada BMW Motorrad sendiri, serta Bantuan Penukaran Gear Pro.
BMW R 12 terbaru ini juga lengkap dengan Comfort Package, yang terdiri daripada ciri seperti kawalan melayar, bantuan mula mendaki, bantuan penukaran gear pro serta pemanas pemegang — motosikal ini direka untuk keselesaan penunggangan jarak jauh. Sistem tanpa kunci, port pengecasan USB dan Kawalan Penunggangan Terhubung menyediakan pengalaman penunggangan yang intuitif sekaligus meningkatkan pengalaman dalam setiap tunggangan.
Penampilan luarannya juga diilhamkan daripada gaya vintage dalam warna Aventurin Red Metallic termasih di bahagian pelindung tayar depan dan belakang serta tangki dan fender, yang menyerlahkan lagi gaya klasik yang dibawanya. Rim dengan tempaan aloi ringan, sistem ekzos stainless-steel serta rekaan open shaft membuatkan rekaannya lebih menarik sebagai sebuah motosikal yang menyerlah dalam segmen cruiser heritage.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.