Kerja pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Kulai-Sedenak yang sedang giat dijalankan akan dihentikan 12 hari, bermula 23 Januari ini sehingga 3 Februari 2025.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, arahan pemberhentian kerja sementara itu dikeluarkan bagi mengelakkan kesesakan di laluan itu susulan musim cuti persekolahan dan cuti Tahun Baharu Cina, laporan Berita Harian.
“Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina, semua kerja-kerja yang dijalankan di lokasi terbabit tidak akan membabitkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah lebuhraya dan tidak akan mengganggu aliran trafik sedia ada. Saya sudah mengarahkan supaya PlUS memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja di tapak pembinaan pada musim perayaan nanti.
“Sempena dengan musim cuti ini, arahan pemberhentian kerja sementara sudah dikeluarkan selama 12 hari bermula daripada 23 Januari hingga 3 Februari. Arahan itu dikeluarkan supaya kelancaran laluan berkenaan tidak terganggu berikutan jangkaan pertambahan kenderaan nanti,” katanya selepas meninjau Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Plus Fasa 1 Senai Utara-Sedenak, Pakej A: Kulai-Sedenak di Persimpangan Bertingkat Sedenak, pagi tadi.
Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara, adalah inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS Wilayah Selatan yang sering berlaku ketika waktu puncak, terutamanya semasa cuti umum atau musim perayaan.
Mengenai perkembangan projek pembinaan lorong tambahan PLUS laluan Kulai-Sedenak, Menteri KKR itu berkata, ia telah mencapai 5.02% kemajuan setakat 31 Disember lalu. Di mana kerja pembinaan yang bermula sejak Julai tahun lalu juga didapati berjalan lancar mengikut jadual.
Beliau berkata, kerja yang sedang giat dijalankan di lokasi termasuk kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti dan pelan pengurusan trafik.
“Selepas kerja-kerja tanah di laluan Sedena -Kulai arah Selatan ini selesai, kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi berkenaan akan dimulakan secara berperingkat. Keseluruhan kerja pembinaan lorong tambahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027.
“Kos keseluruhan Fasa 1 ini adalah sebanyak RM515 juta di mana kos bagi jajaran ini (Sedenak-Kulai) ialah RM249 juta,” katanya.
Tambahnya, projek pembinaan lorong tambahan yang akan dilebarkan dari dua lorong kepada tiga lorong itu dijalankan secara berfasa dari Fasa 1 ke Fasa 3 iaitu dari Senai Utara ke Machap. Projek berkenaan adalah inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan bagi menangani kesesakan di Lebuhraya Plus yang sering berlaku pada waktu puncak, semasa cuti umum dan musim perayaan, terutama di laluan selatan yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong sehala.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.