BMW Group Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,500 kenderaan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad pada pasaran tempatan sepanjang 2024. Menurut syarikat itu, 66% kenderaan yang dijual pada 2024 berkenaan adalah model pemasangan tempatan (CKD). Walau bagaimanapun angka jualan keseluruhan berkenaan sebenarnya turun sebanyak 10% berbanding 15,012 unit yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa 20.5% dari jumlah tersebut iaitu lebih 2,700 unit merupakan model-model elektrik sepenuhnya (EV) yang terdiri dari ketiga-tiga jenama berkenaan. Jadi sehingga kini BMW Group Malaysia sudahpun menjual hampir 33,000 unit EV di Malaysia, namun untuk 2024 jumlah berkenaan sebenarnya jatuh 25% – pada 2023, lebih 3,600 unit EV terjual hanya menerusi jenama BMW.
Jika dipecahkan mengikut jenama, lebih 10,500 unit kereta jenama BMW telah terjual sepanjang 2024 berbanding 11,699 unit pada 2023, atau turun sebanyak 10%. Namun menerusi semakan pada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 10,259 unit kereta berjenama BMW didaftarkan di Malaysia (data ini lazimnya dicampur sekali dengan kenderaan recond/yang diimport secara persendirian). Jadi apa yang diumumkan berkenaan agak bercanggah dengan data dari JPJ.
Kami laporkan percanggahan maklumat ini kepada BMW Group Malaysia dan diberitahu bahawa ada maklumat yang tidak padan. Menurut ketua komunikasi korporat dan kemampanan BMW Group Malaysia Sashi Ambi, syarikatnya telah melaporkan jumlah jualan hampir 10,500 unit berkenaan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan akan membuat semakan terperinci berkenaan perkara ini di JPJ.
Seterusnya, model X1 sDrive20i dinamakan sebagai model Sports Activity Vehicle (SAV) paling laris BMW di Malaysia pada 2024 dengan jualan hampir 1,500 unit, atau naik 195% berbanding tahun sebelumnya. X4 xDrive30i M Sport berada di tempat kedua dengan jualan 700 unit, diikuti oleh X5 xDrive50e yang terjual sebanyak 400 unit. Jadi secara keseluruhan BMW telah menjual lebih 3,600 unit SAV tahun lalu, atau turun sekitar 10% berbanding 2023 di mana lebih 4,000 unit model SAV terjual pada tahun itu.
Manakala untuk model BMW yang lain, lebih 2,700 unit 3 Series telah dihantar kepada pelanggan sepanjang 2024 (2,600 unit pada 2023, naik 4%), di mana varian 320i M Sport menjadi pilihan paling popular dalam segmennya untuk tahun kedua dengan jualan lebih 1,400 unit.
Model lebih besar BMW 5 Series pula terjual sebanyak 790 unit sepanjang tahun lalu (800 unit pada 2023, turun 1%), di mana 520i menjadi varian yang paling laris. Manakala iX2 pula adalah EV BMW paling laris pada 2024 terjual lebih 460 unit dalam masa sembilan bulan. EV kedua terlaris pula adalah i5 eDrive40 M Sport yang terjual lebih 400 unit.
Beralih ke jenama MINI, sebanyak 1,400 unit model jenama tersebut terjual tahun lalu, atau turun 20% berbanding 1,750 unit pada 2023. Model Countryman yang dijana enjin petrol merupakan model yang paling diminati pelanggan dengan jualan melebihi 340 unit. Ia diikuti rapat Countryman versi EV iatu Countryman SE All4 yang terjual sebanyak 320 unit dalam masa tujuh bulan selepas dilancarkan di sini.
Walaupun dua jenama empat roda BMW mencatatkan penurunan jualan, divisi dua roda syarikat itu iaitu BMW Motorrad nampaknya mencatatkan sedikit peningkatan dengan lebih 1,600 motosikal terjual pada 2024, berbanding 1,563 unit pada 2023 (naik 2%).
Barisan model Adventure menjadi pilihan utama pelanggannya di mana sebanyak 760 unit motosikal segmen itu terjual dengan model paling laris adalah R 1250 GS Adventure yang terjual sebanyak 300 unit. BMW Group Malaysia turut menyatakan bahawa motosikal di bawah segmen Urban Mobiliti juga menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 21% pada 2024, dengan C 400 GT menjadi model paling laris.
Sepanjang 2024, BMW Group Malaysia memperkenalkan 27 model dan varian baharu merentas keseluruhan jenamanya. Syarikat itu juga mendedahkan ia telah menyediakan lebih 2,020 kemudahan pengecasan dalam rangkaiannya kepada pelanggan setakat ini melalui perkongsian strategik, manakala lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI tersedia di seluruh pengedar sahnya.
“Tahun lalu merupakan tahun yang luar biasa bagi kami di BMW Group Malaysia, tahun yang ditakrifkan oleh kejayaan dan inisiatif yang mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi, kecemerlangan dan kepimpinan dalam ruang automotif premium,” kata Benjamin Nagel, pengarah urusan BMW Group Malaysia
“Dari mengukuhkan komitmen kami kepada industri automotif tempatan Malaysia, dengan pengembangan Pusat Pengedaran Bahagian Serantau BMW Group kami, bagi memperkuatkan kedudukan kami sebagai pembekal kenderaan elektrik premium nombor satu di Malaysia untuk satu tahun lagi dengan lebih 2,700 kenderaan elektrik dihantar merentasi jenama BMW, MINI, dan portfolio BMW Motorrad, setiap peristiwa penting adalah bukti kepercayaan pelanggan dan rakan kongsi kami kepada kami,” tambahnya.
BMW Group Malaysia turut mempunyai divisi pembiayaannya sendiri iaitu BMW Group Financial Services Malaysia. Sepanjang 2024 lebih 4,500 kenderaan telah terjual menggunakan pembiayaan syarikat tersebut, di mana 46% daripadanya adalah model elektrifikasi sama ada plug-in hybrid dan juga EV.
Manakala kontrak yang dibiayai menerusi BMW Motorad Malaysia mencapai kadar penembusan global tertinggi pada 67% tahun lepas. Sementara itu, menerusi Portal Layan Diri di aplikasi MyBMW, lebih 3,300 kontrak berjaya dibiayai secara digital.
BMW Group Malaysia juga mendakwa bahawa ia kini merupakan pengeksport terbesar kenderaan premium dari Malaysia, dengan lebih 11,000 unit dihantar ke Filipina dan Thailand sejak 2018.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.