Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan landasan dari Maran, Pahang ke Kota Bahru, Kelantan kini telah siap 2.5 bulan lebih awal daripada jadualnya, kata CEO Malaysia Rail Link (MRL), seperti dilaporkan Bernama.
Projek ECRL di Kelantan yang merangkumi stesen Kota Bharu (untuk penumpang sahaja) di Bandar Baru Tunjong dan stesen Pasir Puteh (untuk barangan dan penumpang) di Cherang Tuli, sudah 87.8% siap setakat Disember 2024. Angka itu dijangka meningkat dengan pemasangan rel utama yang telah diselesaikan, dan kedua-dua stesen dijangka siap menjelang suku kedua 2026.
“Ini akan mempercepatkan pembinaan sistem elektrifikasi, isyarat dan telekomunikasi untuk sepanjang 43.86 km di Kelantan,” kata Darwis, sambil menambah Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan kadar tambang dan menterinya Anthony Loke telah memberi jaminan bahawa harga tiket lebih “munasabah” dan tidak akan membebankan rakyat.
Dibina oleh China Communications Construction ECRL (CCCCECRL), jajaran sepanjang 665 km itu akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor di Pantai Barat. Laluan Terminal Kota Bharu-Gombak yang melibatkan perjalanan selama empat jam, dijangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.
CRRC Dalian telah memperuntukkan 11 unit tren berbilang elektrik (IMU) enam gerabak, dengan unit pertama dijangka tiba menjelang akhir 2025. Tren ini boleh membawa 430 penumpang dan mencecah kelajuan hingga 160 km/j. Ia juga akan menyediakan dua lokomotif elektrik yang akan dipasang di depoh Bandar Pelabuhan Kuantan untuk menarik kereta api barangan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.