Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk memastikan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) diwujudkan seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi berkata penyediaan stesen pengecas itu perlu diwujudkan di semua kawasan bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga meliputi kawasan luar bandar, laporan Berita Harian.
Di samping itu, katanya, ia perlu bagi menggalakkan lebih ramai beralih kepada kenderaan mesra alam dalam usaha menangani perubahan iklim.
“Kenderaan EV sebenarnya di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi PETRA bertanggungjawab untuk meningkatkan stesen pengecas.
“Kalau kita hendak menggalakkan (penggunaan kenderaan EV) mesti terlebih dahulu ada stesen pengecas untuk kemudahan orang ramai sebab kebanyakan kereta EV kapasitinya ialah setiap 300 kilometer (km) hingga 400km mesti kena cas semula, justeru peningkatan stesen pengecas itu memang salah satu agenda bersama di bawah MITI dan juga PETRA,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menerusi MITI memang telah menyatakan sasaran pemasangan 10,000 pengecas EV terdiri daripada 1,500 DC dan 8,500 AC, menjelang akhir tahun 2025. Ini diutarakan pada tahun 2021 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.