Pelarasan semula duti eksais OMV ditangguh hingga Jan 2026 — harga kereta CKD boleh naik 10%-30%

Pelarasan semula duti eksais OMV ditangguh hingga Jan 2026 — harga kereta CKD boleh naik 10%-30%

Cakap-cakap tentang pelaksanaan Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang yang Dikilangkan Secara Tempatan bagi Maksud Melevi Duti Eksais) 2019​​​​ yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2024, bukanlah hal baru.

Ia sepatutnya dilaksanakan sejak tahun 2020, tetapi telah beberapa kali ditangguhkan sehinggalah kini. Jika dilaksanakan, ia akan memberi kesan terhadap Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) — sebarang peningkatan pada OMV akan meningkatkan jumlah cukai sekaligus harga jualan kenderaan sehingga 30%.

Dalam taklimat media bersama Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkaitan prestasi jualan kenderaan 2024 hari ini, Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain memaklumkan bahawa setakat ini, Perkara 402 (Gazet Kastam PU A 402) akan mula dilaksanakan pada Januari 2026. Ini bermakna, sekali lagi, penangguhan selama setahun ke depan.

“Kami sangat prihatin dengan perkara ini. Berdasarkan pemahaman kami setakat ini, 402 akan mula dilaksanakan pada Januari 2026. Sekiranya itu berlaku, akan berlaku juga kenaikan harga purata bagi kenderaan CKD antara 10%-30%,” jelasnya. “Bagi MAA, kami akan berbincang lebih lanjut dengan kerajaan sebelum tarikh akhir, serta mencari alternatif yang sesuai,” ujarnya lagi.

Pelarasan semula duti eksais OMV ditangguh hingga Jan 2026 — harga kereta CKD boleh naik 10%-30%

Kenaikan 10%-30% adalah tinggi, dan tak hanya pembeli kenderaan yang akan terkesan — ia akan memberi kesan yang besar terhadap keseluruhan industri automotif di Malaysia.

“Sekiranya itu berlaku (penilaian semula OMV), akan ada banyak kesan buruk bagi tahun-tahun ke depan, dari segi jumlah jualan dan pengeluaran lebih rendah bagi kenderaan CKD. Ia juga akan memberik kesan kepada industri tempatan, terutamanya bagi pembekal. Akan ada banyak kesan sampingan yang kami risaukan. Kami akan terus berbincang dengan kerajaan dan berharap akan lebih difahami serta ada alternatif lain untuk perkara ini,” tambahnya.

Berikut rentetan perkembangan berkaitan “Perkara 402” ini. Ia diwartakan/digazetkan pada hari terakhir 2019, dan bertujuan untuk mencari kaedah baru bagi mengira nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan sekaligus menaikkan harga jualannya. OMV didefinisikan sebagai nilai akhir pasaran kenderaan CKD yang keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais terhadapnya.

Ia terdiri daripada kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan serta pentadbiran. Kenderaan CBU pula menggunakan sistem berbeza — harganya berdasarkan kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang dikenakan duti eksais dan duti import.

Pelarasan semula duti eksais OMV ditangguh hingga Jan 2026 — harga kereta CKD boleh naik 10%-30%

Peraturan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan itu menyatakan yang dalam mengira OMV, perlu juga dipertimbangkan tidak hanya keuntungan dan perbelanjanaan umum yang terlibat dalam pengeluaran sesebuah kenderaan, tetapi juga dalam jualannya.

Klausa berkaitan “jualan” inilah yang menjadi masalah, kerana ia melibatkan juga bahagian lain seperti kejuruteraan, kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, merancang dan melakar, bayaran royalti serta yuran lesen (paten), tanda dagang, hak cipta. Ia umpama “kos kilang” yang digabung dengan “kos pejabat”.

Peraturan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun selepas 22 hari memasuki tempoh pandemik, MAA umumkan yang Kementerian Kewangan telah menangguhkan rancangan itu hingga 2021. Menjelang hujung 2020, ia sekali lagi ditangguhkan dan MAA merayu kepada kerajaan pada 2022 untuk meneruskan penangguhan itu — tempoh penangguhan dua tahun berjaya diperoleh, hingga 31 Disember 2024. Penangguhan terbaru, seperti yang disahkan hari ini, akan berlangsung hingga 31 Disember 2025.

Walaupun ramai yang boleh berlapang dada buat sementara waktu, ketidakpastian ini menyukarkan perancangan, ramalan dan operasi syarikat automotif. Tanpa arah tuju yang jelas, pelaburan juga akan terbantut. Tiada siapa yang mahu melabur dalam pengeluaran tempatan dan kemudian teragak-agak mengharapkan agak menjelang Disember, nasib akan menyebelahi mereka. Inilah apa yang berlaku sebelumnya — penagguhan hanya diumumkan dua hari sebelum tahun 2021 berakhir!

Pelarasan semula duti eksais OMV ditangguh hingga Jan 2026 — harga kereta CKD boleh naik 10%-30%

Sekiranya harga kenderaan CKD naik sehingga 30%, mungkin syarikat kenderaan tidak lagi perlu memikirkan tentang pengeluaran tempatan dan hanya mengimport masuk model CBU sahaja — ini akan merugikan negara. Memang kerajaan akan mengutip lebih banyak cukai melalui OMV baru tersebut dalam jangka waktu singkat, tetapi dalam masa yang sama, harga yang tinggi juga akan memberi kesan kepada jumlah jualan, pengeluaran serta peluang pekerjaan kepada rakyat.

Jadi, jalan mana ke depan? Itu perlu ditetapkan dengan jelas, dan bukan lagi dengan penangguhan berkali-kali saban tahun seperti sekarang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required