Perodua dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) untuk membangunkan kenderaan elektrik generasi baru (xEV) Malaysia. Dalam perjanjian ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk bersama mendidik dan melatih bakal jurutera dalam membangunkan teknologi berkaitan xEV, perkongsian ilmu serta pendedahan kepada teknologi xEV untuk pakar akademik dan jurutera.
Bidang yang terlibat dalam kerjasama ini antaranya termasuk akademik, penyelidikan dan pembangunan, pembangunan bakat serta latihan. Untuk tujuan ini juga, satu makmal satelit akan dibangunkan di kampus utama UTM di Skudai, Johor.
“Kami teruja untuk meneroka masa hadapan di mana Malaysia dapat membangunkan teknologi xEV sendiri dan manfaatnya dikongsi bersama generasi baru. Dengan MoU ini, Perodua mengambil langkah ke hadapan daripada mandat asal sebagai pembawa pertukaran teknologi kepada menjadi satu entiti yang memacu pembangunan teknologi,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Timbalan naib canselor penyelidikan dan inovasi UTM, Prof Dr Rosli Md Illias pula berkata, “kolaborasi ini menunjukkan kepentingan merapatkan jurang antara golongan akademik dengan industri, seterusnya dapat memperkuatkan graduan dengan kemahiran serta pengetahuan.”
Dalam masa terdekat ini juga Perodua telah menandatangani MoU dengan beberapa pihak lain seperti TM, Petronas, Gentari dan Malaysia Rail Link, sebagai persediaan untuk EV mereka sendiri yang dirancang diperkenalkan pada suku keempat tahun ini. Ia juga sudah ditunjukkan awal melalui model prototaip eMO-II Concept.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.