PANDU UJI: Xpeng G6 menyerlahkan pengendalian impresif dan mempertaruhkan sentuhan imej minimalis

PANDU UJI: Xpeng G6 menyerlahkan pengendalian impresif dan mempertaruhkan sentuhan imej minimalis

Perkembangan dunia kenderaan elektrik (EV) boleh dikatakan cukup pesat sejak lima tahun kebelakangan ini. Apatah lagi syarikat pengeluar kenderaan dari China yang seakan berlumba-lumba memproduksikan model baharu EV dan semakin kencang menembusi pasaran dunia. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam senarai negara yang rancak menjual EV setelah ia dilihat semakin diterima masyarakat di sini, lebih-lebih lagi apabila kerajaan menggalakkan pemilihan dan pemilikan EV termasuk memperbanyakkan pemasangan stesen pengecasan di seluruh negara.

Di Malaysia sendiri, jenama EV global antaranya Tesla, BYD, Chery, Zeekr, Neta, MG dan Leapmotor begitu mudah menembusi pasaran tempatan. Jenama automotif gergasi termasuk Kia, Hyundai, Mercedes-Benz, BMW, Nissan, Lotus dan lain-lain juga tidak kurang hebatnya apabila saling berlumba-lumba memperkenalkan model EV masing-masing. Tidak ketinggalan juga, Proton yang baru saja melancarkan EV pertamanya, eMas7, manakala Perodua juga bakal muncul dengan EV sulungnya Selepas memperkenalkan model konsep eMO-II di KLIMS pada December lalu.

Ya, EV boleh disifatkan sebagai tsunami automotif yang kian meledak dan mungkin juga tidak surut. Dengan senarai EV yang disebut di atas, jangan terlupa dengan kewujudan Xpeng, yang dibawa masuk oleh Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal jenama Xpeng dari China di Malaysia. XPeng membawa masuk Smart Coupe SUV EV G6 ke pasaran tempatan yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Dikatakan mampu berentap dengan Tesla Model Y, malah dikatakan lebih murah dari ‘jenama Elon Musk’ itu, Xpeng G6 ini ditawarkan dengan dua varian iaitu Xpeng G6 580 Pro (Standard Range) dengan harga RM165,820 dan juga G6 755 Pro (Long Range) pula berharga RM185,820. Kedua-duanya harga atas jalan tidak termasuk insurans.

PANDU UJI: Xpeng G6 menyerlahkan pengendalian impresif dan mempertaruhkan sentuhan imej minimalis

Tapi adakah XPeng G6 ini mampu menarik perhatian pembeli di Malaysia biar pun dikatakan mampu menyaingi Model Y kelahiran Tesla yang ‘sudah ada nama’ itu? Bagi merungkai persoalan ini, penulis diberikan kesempatan untuk memandu uji varian tertinggi Xpeng G6 755 Pro selama tiga hari, dalam kesibukan jadual kerja, sempat jugalah menyelit masa untuk melenjan SUV EV ini.

Merupakan model pertama Xpeng, G6 ini dibangunkan dengan platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) berserta binaan 800-volt generasi baharu. Menurut pengeluarnya, ia merupakan sebuah binaan teknologi bersepadu yang membawakan penyelesaian senibina lebih canggih. Malah platform ini juga dikhabarkan akan digunakan untuk melahirkan model yang akan datang.

Selain itu, G6 turut ditampilkan rekaan yang ringan dan kedudukan pusat graviti rendah untuk memberikan dinamik pemanduan yang lebih baik. Kerangka badannya terdiri daripada campuran aluminium ringan yang turut memberikan ketahanan untuk keselamatan.

Dari sudut dimensi, G6 mempunyai ukuran 4,753 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,890 mm. Ukuran ini hampir sama dengan dimensi Tesla Model Y yang mempunyai 4,751 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,624 mm tinggi dengan jarak roda 2,891 mm. G6 mempunyai ruang but 571 liter yang boleh dilanjutkan menjadi 1,374 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan secara rata.

PANDU UJI: Xpeng G6 menyerlahkan pengendalian impresif dan mempertaruhkan sentuhan imej minimalis

Bagi varian tertinggi, G6 755 Pro menggunakan bateri jenis Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 87.5 kWj yang memberikannya kuasa sehingga 286 PS (282 hp atau 210 kW) dengan tork 440 Nm. Membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 200 km/j. Jarak gerak bagi pengecasan tunggalnya pula mencecah 570 km (WLTP).

Walau pun tidak berpeluang memandunya secara jarak jauh disebabkan kekangan waktu, namun ia masih memberikan sedikit pengalaman mengendalikannya. SUV EV dengan pacuan dua-roda tidak kedekut memuntahkan kuasanya tanpa perlu mengerah tenaga yang berlebihan. Biar pun kuasa yang terhasil berkadaran sederhana, namun masih sesuai dengan sifatnya sebagai EV. Jika memandu dalam keadaan sedikit agresif, kapasiti baterinya tidaklah menyusut begitu mendadak. Sepanjang tiga hari menggunakannya, dengan jarak sekitar 300 km, kapasiti baterinya masih berbaki kurang setengah.

Ketika mengendalikan sterengnya, ia terasa agak ringan tetapi masih tegar memberikan sekurang-kurangnya keyakinan untuk mengawalnya. Jika memandu dengan keadaan agak agresif, G6 ini masih memberikan sifat yang neutral, tidak mudah liar kawalannya dan boleh dikatakan impresif juga.

Kuasa pendikitannya juga lebih dari mencukupi dan ia boleh dibantu dengan pemilihan mod pemanduan (Eco, Standard, Sport dan Individual). Penulis lebih menyenangi mod pemanduan ECO dan boleh dikatakan menggunakannya setiap masa. Ia tetap pantas memberikan tindakbalas terhadap pendikitan dan seakan berupaya mengehadkan lonjakan kuasa. Kalau pemandu yang sukakan sifat pemanduan yang lebih sporty, mungkin ia memberikan rasa yang agak menjengkelkan. Oleh itu, kalau hendak pemanduan sebegitu, pilih saja mod Sport yang seakan bertindak sebagai ‘launch control’ untuk G6.

Selain itu, ketika menempuh permukaan jalan yang tidak rata mahu pun berlubang, namun ia masih mampu memberikan pengendalian yang anjal. Hasil gabungan sistem suspensi dengan topang double wishbones untuk hadapan dan multi-link di belakang yang turut dibantu oleh tayar Michelin Pilot Sport EV berprofil 255/45R20.

Manakala bagi bunyi bising jalan raya (road noise), ia boleh dianggap berada pada tahap yang boleh diterima. Xpeng berkata, rekabentuk kerangka terutamanya pada bahagian hadapan memang diolah untuk membantu meminimalkan bunyi bising jalan raya.

Secara konklusi untuk Xpeng G6 ini, ia memberikan kesimbangan bagi pemanduan dan pengendalian yang optima. Malah ciri kelengkapan bantuan pemanduan termasuk bantuan kekal lorong dan amaran kelajuan juga sangat membantu mengekalkan pemanduan yang lebih selamat.

Bagi yang ingin mengetahui bab pengecasan, varian tertinggi Xpeng G6 ini boleh menggunakan pengecas AC (Type 2) berkapasiti maksimum 11 kW, dengan kadar 5%-100% SoC boleh dicapai dalam masa 9.5 jam. Jika menggunakan pengecas pantas DC pula, varian 755 Pro ini mempunyai kapasiti input pengecasan 280 kW — kadar pengecasan dari 10%-80% boleh dicapai dalam masa 20 minit.


Seperti kebanyakan EV lain di pasaran, G6 juga dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW, walau bagaimana pun anda perlu membeli sendiri plug adaptor kerana ia tidak disediakan oleh pengeluarnya.

Melihat imej luarannya, ia masih kelihatan bergaya walau pun rekaannya boleh dikatakan agak ringkas. Wajah hadapannya diserikan dengan jaluran lampu utama ‘sepet’ dengan unit LED automatik projektor. Namun bentuk lampu nyalaan siang (DRL) LED yang agak besar memberikan imej yang agak kontras. Apron bawahnya pula dihiasi gril hitam yang kontras dengan warna badannya. Serlahan ala coupe pula jelas kelihatan pada bahagian sisi, selain ditampilkan dengan cermin sisi bersama ciri pemanas dan bukaan pintu secara elekterik.

Melewati bahagian belakang, rekaannya senada dengan hadapan yang turut ditampilkan lampu ‘sepet’ LED penuh yang digandingkan bersama lampu kabus. Perkataan Xpeng di bahagian tengah pula tidak ‘menenggelamkan’ atau ‘over shadow’ rekaan belakang, nampak bagai ada sentuhan eksklusif di situ. Ia diberikan pintu tailgate kuasa dan spoiler belakangnya pula menambahkan imej sporty untuk bahagian tersebut.

PANDU UJI: Xpeng G6 menyerlahkan pengendalian impresif dan mempertaruhkan sentuhan imej minimalis

Jika secara luaran, G6 ini kelihatan seperti SUV segmen-B yang bersaiz sederhana. Namun apabila memasuki kabinnya, terasa ia luas pula. G6 ini diberikan bumbung kaca panoramik yang menambahkan gaya sofistikatednya. Walau bagaimana pun, rekaan kabinnya memang agak ringkas dan minimalis, tidak dilengkapi butang kawalan dan ciri futuristik lain. Roda sterengnya berbentuk oval dengan fungsi pemanas serta ada butang kawalan bagi audio, pengaktifan bantuan parkir dan sebagainya. Skrin kluster instrumen digital yang agak lebar bersaiz 10.2-inci diletakkan di hadapan pemandu.

Papan pemukanya pula menempatkan skrin sesentuh sentral yang agak besar bersaiz 14.96-inci, macam Tesla. Untuk paparan, ia menggunakan set cip Qualcomm Snapdragon 8155 dengan perisian operasi Xmart OS.

Ia juga diberikan sistem infotainmen dengan bantuan suara digital dan menyokong sambungan 4G, kemaskini over-the-air (OTA), navigasi pintar serta ketersambungan tanpa wayar untuk Android Auto dan Apple CarPlay. Manakala konsol tengahnya agak tinggi, menempatkan dua tempat letak cawan dan juga pad pengecas tanpa wayar berkapasiti 50W.

Kemasan dalaman boleh dipilih antara hitam atau kelabu dengan balutan kulit buatan, dengan tempat duduk larasan kuasa di depan dengan bukaan liang (hanya untuk pemanas di belakang). Ciri kelengkapan untuk kabin yang turut diberikan termasuk sistem pintar tanpa kunci, sistem bunyi Xopera dengan 18-pembesar suara, sistem pendingin hawa dua-zon dengan corong di belakang serta penapis PM2.5.

Bagi aspek keselamatan, Xpeng G6 ini dilengkapi tujuh beg udara dan child lock electronic. Ia juga diberikan sistem bantuan aktif pemandu Xpilot 2.5 yang memanfaatkan rangkaian lima radar gelombang-milimeter, 12 penderia ultrasonik dan 12 kamera HD 360-darjah yang dikuasakan oleh set cip Nvidia Orin-X — yang turut memaparkan pandangan trafik panoramik untuk pemandu di kluster instrumennya.

Ciri keselamatan aktif ini juga tmerangkumi Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Active Lane Change (ALC), Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP) dan Straight Summon melalui aplikasi mudah alih Xpeng, Driver State Monitoring (DSM), Autonomous Emergency Braking (AEB), Intelligent High Beam (IHB), Blind-spot Detection (BSD), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist (LKA), Emergency Lane Keeping (ELK), Rear Cross-Traffic Alert (RCTA) dan Rear Collision Warning (RCW).

Melalui aplikasi mudah alihnya, turut tersedia fungsi seperti pemeriksaan status kenderaan, kunci dan membuka kunci pintu, status tekanan tayar serta mengawal pendingin. Satu ciri uniknya ialah Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0) yang membantu pemandu untuk masuk ruang parkir secara depan, mengiring atau bersudut dengan atau tanpa garisan tersedia. Pengguna boleh juga memanfaatkan fungsi Auto Exit Parking Assist (AEP) menerusi aplikasi mudah alih untuk mengeluarkan kenderaan dari petak parkir.

Untuk pilihan warnanya pula, ia menyenaraikan rona Midnight Black, Silver Frost, Artic White, Graphite Grey dan Fiery Orange. Dan unit pandu uji berwarna jingga ini memang menarik perhatian ramai, bila tersekat dalam kesesakan lalu lintas, perasan juga ada mata yang memerhati termasuk polis trafik yang jaga lalu lintas.

Untuk pembelian Xpeng G6, kini [akej selepas jualannya telah ditambahbaik dengan diberikan penyelenggaran berkala percuma untuk tiga-tahun atau 60,000 km. Ia kini menyertai pakej sedia ada iaitu waranti pengeluar standard lima-tahun/120,000 km dan perlindungan pek bateri voltan-tinggi dan motor selama lapan-tahun/160,000 km seperti yang diumumkan ketika EV ini mula dijual pada Ogos lalu.

Walau bagaimana pun, penambahan ini tidak menyebabkan sebarang perubahan harga bagi G6, yang masih dijual pada harga atas jalan RM165,820 tanpa insurans untuk model asas 580 Pro (Standard Range), sementara varian tertinggi 755 Pro (Long Range) juga masih dikekalkan pada RM185,820.

Dengan harga yang ditetapkan bersama ciri kelengkapan yang diberikan, G6 ini boleh dianggap sebagai kenderaan berorientasikan keluarga. Ia mempunyai ruang kabin yang luas, banyak pilihan hiburan, keselesaan yang optima dan pengendalian yang memuaskan. Malah G6 ini juga boleh dikatakan sebagai alternatif kepada Tesla Model Y yang lebih tinggi harganya iaitu RM195,450 untuk varian Standard Range RWD dan Long Range AWD pula berharga RM242,450. Jika anda bukan seorang yang mementingkan jenama, mungkin SUV EV Xpeng buatan China ini juga boleh dipertimbangkan sebagai pilihan teratas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required