Susulan pengumuman kerajaan untuk menghentikan pemberian tol percuma ketika musim perayaan semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa masalah kesesakan di lebuh raya tidak akan diselesaikan sekiranya pemberian berkenaan diteruskan.
Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, apa yang penting adalah pengguna jalan raya perlu mengubah sikap masing-masing dan merancang perjalanan apabila tiba musim perayaan.
“Jumlah gantian dalam bentuk pampasan oleh kerajaan kepada pemegang konsesi tol itu melebihi RM35 juta sehari.
“Walaupun ia tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung tetapi konsensi itu terpaksa dipanjangkan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya yang bertol,” katanya.
Tambahnya lagi, keputusan menghentikan pemberian tol percuma itu merupakan keputusan Jemaah Menteri susulan saranan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Keputusan berkenaan disahkan oleh Alexander selepas majlis perasmian jajaran Seksyen 2 Lebuhraya WCE yang melibatkan laluan Persimpangan Bertingkat SKVE hingga Persimpangan Bertingkat KESAS semalam. Menurutnya kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“Akan kita umumkan dalam masa terdekat (pendekatan lebih bersasar). Tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma di musim perayaan. Ikut keputusan itu tiada (mengenai pemberian tol percuma) tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain… akan dibincangkan. Kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar. Perincian akan dimaklumkan kemudian,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.