BYD Performance Day tunjuk prestasi sedan EV Seal

BYD Performance Day tunjuk prestasi sedan EV Seal

Dalam barisan model kenderaan elektrik dari China yang telah diperkenalkan di pasaran Malaysia, BYD Seal merupakan antara model yang sangat meyakinkan dan menonjol — dan berjaya mengatasi jualan Tesla Model 3 di sini — dari segi rupa dan prestasi.

Dan, ketika bercakap tentang prestasi bagi EV, walaupun ia bukanlah dalam pengalaman yang sama sepertimana untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman biasa, ia tetap menarik untuk melihat sejauh mana kemampuan EV boleh diunjurkan.

Untuk tujuan ini, BYD Sime Motors minggu ini telah menganjurkan BYD Performance Day untuk menunjukkan sejauh mana prestasi dan kemampuan BYD Seal, yang turut telah mendahului sebagai sedan elektrik paling laris jualannya sepanjang 2024 di Malaysia. Untuk aktiviti tersebut, BYD Seal Performance AWD ditampilkan untuk pihak media merasakan sendiri apa yang ada untuk ditawarkan oleh kereta terbabit dari segi prestasi.

Pandu uji ringkas ini bermula dari Bamboo Hills, Kuala Lumpur dan menelusuri lebuhraya dan jalan lama menuju ke Sepang. Di kerusi pemandu, BYD Seal Performance kami rasakan memberi maklum balas yang cekap ketika mengendalikannya. Tenaga dan kuasanya tiba segera. Kabin juga sangat selesa dan luas. Bagaimanapun, ketika duduk sebagai penumpang belakang, kerap dan mudah terasa penat kerana tetapan suspensinya keras dan tidak selesa dirasakan di situ.

Tiba di perkarangan Litar Antarabangsa Sepang, aktiviti gymkhana menanti untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mencabar. Walaupun EV secara umumnya bukanlah direka untuk tujuan seperti ini, namun Seal Performance dirasakan cukup dinamik untuk dikendalikan — terutama dengan penyampaian kuasa yang besar dan segera.

BYD Performance Day tunjuk prestasi sedan EV Seal

Demonstrasi drift juga ada dipersembahkan. Walaupun kelihatan sukar dan tidak naturalnya model terbabit untuk melakukan aksi tersebut, namun ia berjaya menunjukkan kegunaan kuasa 530 PS (523 hp dan 390 kW) dan 670 Nm tork yang dimilikinya — ia mampu menggalas cabaran drift tersebut. Di sudut lain, Seal ini juga digunakan sebagai sumber kuasa V2L untuk penyediaan mesin membancuh kopi di lapangan.

Continental Tyre Malaysia (CTM) juga hadir mempamer serta memberi penerangan bagi produk EcoContact 6Q keluaran syarikat itu, yang khusus dibangunkan untuk EV menggunakan kompaun Green Chilli 2.0. Ini memberikan rintangan golekan yang rendah sekaligus menjadikan jarak yang ditempuh lebih baik bacaannya.

Acara ini bertujuan untuk mempamerkan penawaran BYD Seal sebagai game changer dalam pasaran EV, yang menggabungkan teknologi canggih dengan prestasi pemanduan yang tidak kurang kecekapannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required