Selain Xpeng X9, Bermaz Auto (BAuto) turut mendedahkan Deepal S07 (yang turut didakwa sebagai unit pembangunan – R&D) dan dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.
S07 ini merupakan satu daripada dua model Deepal yang sah bakal memasuki pasaran Malaysia, selain itu adalah model S05. SUV elektrik S07 ini memiliki ukuran bersaiz 4,750 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,625 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,900 mm. Boleh dikatakan ia lebih kurang sama saiz dengan Xpeng G6 dan Tesla Model Y.
Untuk pengetahuan anda, S07 bukanlah model serba baharu, tetapi ia adalah versi facelift dan dinamakan semula dari S7, yang pertama kali diperkenalkan di China pada 2023. Di pasaran sana, S07 yang dilancarkan pada Julai lalu dijual pada harga antara 149,900 yuan dan 176,900 yuan (sekitar RM91k dan RM108k).
Di China, S07 REEV diberikan dua varian dengan enjin 1.5 liter dan pacuan roda belakang. Perbezaannya adalah pada kapasiti bateri LFP serta kuasa motor elektriknya. Varian permulaan dengan bateri 19.99 kWh mampu menghasilkan kuasa 238 PS (235 hp atau 175 kW) dan 320 Nm, manakala jarak geraknya pula adalah 125 km (CLTC) apabila menggunakan elektrik sahaja dan 1,045 km (CLTC) apabila menggunakan gabungan enjin dan motor.
Varian tertinggi pula diberikan bateri 39.05 kWh, memberikan jarak gerak EV yang lebih tinggi, iaitu 285 km (CLTC) dan 1,200 km (CLTC) dengan sistem hibridnya. Kuasa keseluruhan adalah 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6-7.8 saat. Semua varian boleh dicas pada tahap 30-80% dalam masa 15 minit.
Untuk S07 versi elektrik penuh, dua varian yang ditawarkan di China menggunakan bateri LFP 68.82 kWh, memberikan jarak gerak 520 km (CLTC) dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, hasil daripada motor elektrik berkuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm.
Thailand juga sudah menerima kemasukan S07 ini, dengan menawarkan dua varian. S07 biasa dijual pada harga 1.399 juta baht (RM180k), dengan perincian seperti bateri nickel manganese cobalt (NMC) 66.8 kWh, jarak gerak 485 km (NEDC) dan motor elektrik 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm. Manakala S07 L pula berharga 1.499 juta baht (RM193k), diberikan bateri NMC 79.97-kWh, jarak gerak 560 km (NEDC) serta motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm.
Bagi penggayaannya, S07 memiliki imej ranggi terutamanya ia diserlahkan dengan bampar hadapan berbentuk-X, corong pengambilan udara yang besar, “bumbung ala terapung” dan pencahayaan tiga peringkat untuk kedua-dua lampu utama dan lampu belakang.
Di dalamnya pula, skrin sesentuh infotainment 15.6-inci disepadukan dengan hampir kesemua kawalan kenderaan, selain itu ia juga diberikan bumbung kaca panoramik, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, aliran udara dan urut.
Walau bagaimana pun, buat masa ini, belum dikhabarkan bilakah S07 ini bakal dilancarkan dan harganya juga masih dirahsiakan. Namun sumber Bermaz Auto berkata, “harga yang bakal ditawarkan adalah sangat menarik”. Kita hanya akan mengetahui apabila ia dilancarkan sepenuhnya pada tahun ini juga.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.