Touch n Go eWallet hari ini melancarkan secara rasmi ciri SOS Balance dalam aplikasinya. Ini adalah bagi memudahkan lagi pengguna yang tidak mempunyai baki yang cukup ketika keluar dari tol dengan menangguhkannya bagi tempoh 24 jam (dengan maksimum RM80 setakat ini). Ini bagi mengelakkan mereka daripada terkandas di plaza tol kerana baki kurang.
Ditawarkan secara percuma melalui aplikasi eWallet itu bermula hari ini, SOS Balance hanya akan ditawarkan kepada “pengguna yang setia” yang dengan secara berterusan telah menunjukkan mereka mampu melangsaikan semua bayaran tertunggak mengikut waktunya, kerap menambah nilai jumlah dalam eWallet dan kerap menggunakan eWallet itu untuk melakukan transaksi. Pengguna yang layak akan didaftarkan secara automatik dan dimaklumkan melalui notifikasi di telefon mereka.
Sebaik sahaja SOS Balance dimaklumkan, pengguna mempunyai 24 jam untuk menambah nilai eWallet mereka, yang mana baki tertunggak bayaran tol berkenaan akan ditolak. Sekiranya tempoh 24 jam itu tamat, ciri berkenaan akan digantung dan pengguna perlu menambah nilai baki untuk menggunakan eWallet itu kembali. Menariknya, tiada sebarang yuran tambahan atau faedah dikenakan untuk bayaran lewat tersebut.
Pengguna boleh menyemak baki tertunggak SOS Balance mereka dengan menekan ikon kereta di bahagian atas dalam menu utama aplikasi tersebut. Sama seperti wallet anda, SOS Balance hanya berfungsi di plaza tol dengan lorong RFID dan diaktifkan ciri PayDirect: dalam maksud lain, ia tidak akan membantu anda sekiranya baki kad TNG anda rendah.
Berkenaan lebuh raya yang menyokong bayaran melalui RFID dan PayDirect, TNG Digital memaklumkan yang 31 daripada 33 lebuh raya di Malaysia kini menyokong sekurang-kurangnya satu daripadanya, dengan majoriti menyokong kedua-dua kaedah tersebut. Ini terutama sekali bagi Lebuh raya utama yang dikendalikan oleh PLUS Malaysia seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Elite dan Lebuhraya Lembah Klang Utara.
Semua lebuh raya berkenaan memang menyokong RFID, sementara pelaksanaan PayDirect disifatkan “sedang diusahakan”, seperti dalam kes Lebuhraya Pantai Barat (WCE). Hanya Lebuhraya Pantai Timur 1 & 2 belum ada perancangan untuk melaksanakan mana-mana sistem tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.